Sunday, June 28, 2009

Imam Ahmad Mengusir Jin


Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad sedang duduk di masjid, tiba-tiba didatangi seorang utusan Khalifah Al-Mutawakkil. Utusan itu berkata: "Dirumah Amiril Mukminin ada hamba perempuan yang rasuki jin. Aku diutus kepadamu agar berdoa kepada Allah supaya hamba perempuan itu sembuh dari penyakitnya."

Maka Imam Ahmad memberinya sepasang selipar yang terbuat dari kayu seraya berkata: "Pergilah ke rumah Amiril Mukminin, lalu duduklah di sisi kepala hamba itu, dan katakanlah kepada jin yang masuk ke dalam tubuhnya: "Mana yang lebih kamu sukai, keluar dari tubuh hamba ini atau kamu dipukul dengan selipar ini tujuh puluh kali?"

Berangkatlah utusan itu ke istana Khalifah sambil membawa selipar tersebut. Ia duduk disisi kepala hamba itu dan mengatakan apa yang telah diajarkan Imam Ahmad kepadanya. Maka jin yang derhaka itu berkata melalui lisan hamba perempuan itu: "Kami mendengar dan taat kepada Imam Ahmad. Sekiranya ia memerintahkan kami keluar dari Iraq pun, tentu kami akan keluar disebabkan ketaatannya kepada Allah. Sesiapa sahaja yang taat kepada Allah, tentu ditakuti oleh seluruh makhluk."

Kemudian jin itu keluar dari tubuh hamba perempuan itu. Dengan itu kembali sihatlah ia seolah-olah tanpa pernah disentuh oleh sebarang penyakit.

Semoga dari kisah ini dapat kita meningkatkan usaha kita dalam mentaati segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t bukanlah kerana takut dirasuki jin tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai hambaNya insyaAllah.

Reunion...keburukan dan kebaikan


Boleh dikatakan reunion merupakan program yang pasti akan diadakan oleh bekas pelajar kebanyakkan sekolah dan juga universiti untuk bertemu semula selepas terpisah disebabkan tempat belajar yang sudah berlainan. Namun begitu perlu diingatkan bahawa ada beberapa perkara yang perlu diawasi walaupun program seperti ini sangat digalakkan, perkara-perkara yang mungkin selalu dilakukan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja ini perlu dihindarkan.

Keburukan yang mungkin berlaku adalah seperti mengumpat, mencaci, mengajak buat kejahatan, tidak menghormati orang yang lebih tua atau muda, bermegah-megah dengan kejayaan yang dikecapi, percampuran lelaki dan perempuan, berpuak-puak, membuka keaiban orang lain, mendedahkan aurat, berhias berlebihan dan seangkatan dengan nya.

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. " (Al Hujurat ayat 12)

Tujuan utama program seperti ini adalah untuk mendapat kebaikan seperti merapatkan ukhuwah, bertukar pendapat, bertanya khabar, mengajak kepada kebaikan, membantu rakan yang ditimpa kesusahan, menyelesaikan segala dendam atau permusuhan yang berlaku sebelumnya, saling nasihat menasihati antara satu sama lain dan mendoakan kebaikan kepada rakan yang masih hidup mahupun yang telah meninggalkan alam ini dan seangkatan dengannya.

Sabda Nabi s.a.w: "Tidak akan beriman seseorang diantaramu apabila kamu tidak mencintai saudaramu seperti kamu mencintai dirimu sendiri.

Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."(AlHujurat:10)

Firman Allah: ".....Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksanNya."(Al-Maa-idah:2)

Alhamdulillah syukur reunion GX-one pada 27/6/2009 telah berjalan dengan lancar dan dapat mengadakan slot bacaan doa ataupun tahlil untuk seluruh muslimin dan muslimat yang telah meninggalkan dunia khususnya bagi mendoakan rakan penulis sendiri Wan Muhd Imaduddin yang merupakan rakan karib dan rakan pertama penulis ketika berada di Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak. Semoga Wan Muhd Imaduddin sentiasa dalam naungan Allah dengan rahmatNya yang luas, insyaAllah. Kesempatan ini juga harap pembaca dapat menyedekahkan Al-Fatihah kepada beliau dan juga kepada atuk penulis sendiri A. Shukor Abd Rahman. Dibawah ini penulis menukilkan perasaan ketika kesedihan menerima kematian orang yang tersayang:

".....
Biar lah....pergi la roh yang tenang menuju Tuhanmu.....
Tuhan yang kekal abadi... Tuhan yang menciptakan mu....
Tuhan yang mengasihani mu.... Tuhan yang merahmati mu....
Rahimahullah ya Abdullah..
Tiada lagi rezeki mu..... Tiada lagi nafas untuk mu...
Tiada lagi isteri dan anak-anak disisi mu....
Jangan engkau risau,
Kami di sini akan turut menyertai mu...
'Setiap yang hidup pasti akan mati'....
Kau telah terselamat dari fitnah dunia...
Kau telah ke alam lain yang tiada lagi ujian....
Hanya himpunan amal yang ada....
Kami di sini masih berjuang...
Kau telah membawa amalan mu dengan wajah tersenyum....
Kami nanti bagaimana??
Kami risau.... Kami takut....
Kami tidak seperti engkau,
Kami lalai... Kami perlambatkan solat...
Kami kurang melakukan perkara sunat....
Bagaimana dengan kami nanti??
Adakah umur kamiyang masih ada ini akan menambahkan kebaikan amal soleh?
Atau hanya fitnah yang akan membawa kami ke neraka??
Kami tidak tahu penghujung kami...
Sempatkah kami bertaubat sepertimana engkau?
Adakah lisan kami masih dapat menyebut 'Tiada Tuhan Selain Allah' sewaktu kami tidak mampu berkata yang lain seperti engkau??
Ya Allah.... Ampunkan kami"

Semoga dapat diambil isi yang baik dan dijadikan sedikit nasihat untuk kehidupan yang mendatang insyaAllah.

Thursday, June 18, 2009

Surat Cinta



Surat ini diambil dari blog saudara seislam, semoga isi nya dapat memberi sedikit manfaat insyaAllah....
hayati dan fahami mesej yang hendak disampaikan....selamat membaca

Kepada …… Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya Assalamu’alaikum Wr Wb. Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai. Saya, yang bernama_____menginginkan anda______ untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan. Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak. Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan. Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja. Oleh kerana itu Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa. Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik. Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu Kenapa saya memilih anda. Saya sudah sholat istikharah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda. Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini. Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawapan pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah redha dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin..Wassalamu’alaikum Wtb...

Monday, June 15, 2009

Senyumlah


Senyum dapat membuat jiwa gembira dan bahagia seperti kata Abu Darda': "Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku. Dan baginda Rasulullah s.a.w sendiri sesekali tertawa hingga nampak gerahamnya. Begitulah tertawanya orang-orang yang berakal dan mengerti tentang penyakit jiwa serta pengubatannya."
Marilah kita mencontohi Nabi s.a.w yang murah dengan senyuman dan tertawa secara berakhlak kerana memang ada yang sangat murah dengan senyuman dan tertawa sehingga menampakkan anak tekak mereka. Ini perlu diubah dan mari kita jadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan kita dalam semua perkara (qudwah hasanah) dan jangan lupa tertawa juga boleh menggelapkan hati sekiranya berlebihan, oleh itu berpatutanlah dalam hal ini.

Sekiranya kita murah dengan senyuman manusia lain akan senang melihat kita dan sifat ini menunjukkan kita kelapangan dada, kepemurahan sifat, kemurahan hati, kewibawaan perangai dan kecerdika fikiran. Senyum, berwajah riang dan tertawa secara berakhlak merupakan sifat yang baik, Nabi Sulaiman sendiri tersenyum ketika mendengar kata-kata semut seperti firman Allah s.w.t: "Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu."(An-Naml:19)
Sabda Nabi s.a.w: "Sekalipun engkau hanya menjumpai saudaramu dengan wajah berseri."

Akhirat kelak Penghuni syurga juga tertawa, firman Allah s.w.t: "Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang kafir itu."(Al-Mutaffifin:34)
Ayat ini adalah balasan bagi orang kafir yang tertawa dengan kesombongan mereka ketika diajak supaya beriman kepada Allah yang Esa, Firman Allah s.w.t: "Maka apabila ia datang kepada mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu."(Az-Zukhruf:47)

Jangan kita hiasi wajah kita dengan muka yang masam seperti penghuni neraka yang digambarkan Allah dalam firmanNya: "Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam dan berkerut." (Al-Muddaththir:22) Mereka bermasam muka kerana kesombongan seolah-olah mereka dicampak dengan paksa ke neraka sedangkan mereka yang memilih dengan melakukan perbuatan ahli neraka setelah di beri peringatan dan amaran daripada Allah.

Yang manakah pilihan kita sama ada menghiasi wajah dengan senyuman ataupun berwajah masam?

Kematian

Firman Allah s.w.t: "Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan kembali"(Al-Anbiyaa':35)

Setiap manusia pasti akan mati tidak kira siapa pun dia samada ulama, mufti, perdana menteri, ataupun taiko judi. Semua makhluk akan menemui saat kematiannya termasuk para malaikat. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi sakaratul maut? Adakah kubur kita nanti dari taman-taman syurga atau dari lubang-lubang neraka?

Sabda Nabi s.a.w: "Orang yang bijak adalah mereka yang mengingati mati dan bersedia untuknya."

Adakah kita seorang yang bijak? Bukan bijak matematik atau sains, tetapi bijak dalam menghadapi ujian Allah di dunia ini dan bersedia untuk kematian. Mungkin ada yang bijak separuh sahaja kerana kita tahu kita akan mati tetapi kita tidak bersedia untuknya. Sekiranya kita tergolong dalam golongan ini tersangat rugilah kita kerana kita menyedari akan hal ini tetapi tidak mahu bersedia. Ini di ibaratkan seperti seseorang yang sudah tahu akan ketiadaan air pada esok hari tetapi tidak mengambil langkah untuk menyimpan air dalam tempayan dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Untuk pengetahuan semua pada 13 Jun 2009, kesedihan melanda segenap jiwa umat islam dengan pemergian seorang tokoh gerakan Islam, Ilmuan serta pemikir Islam yang sangat berjasa, beliau adalah Dr Fathi Yakan, beliau amat popular dengan buku beliau "maza ya'ni intimai Ila Islam"(apakah erti saya menganut Islam). Buku beliau ini banyak digunakan dalam gerakan-gerakan Islam di kalangan murid-murid sekolah dan juga pelajar universiti. Beliau merupakan bekas ahli parlimen Lubnan atas tiket parti politik Islam. Adakah kita banyak berbakti kepada dunia Islam seperti beliau? Mari muhasabah diri kita sejauh mana yang telah kita berikan sumbangan terhadap umat Islam tidak kira sama ada dari segi ilmu mahupun ekonomi. Apakah yang kita akan bawa ke pengadilan Allah s.w.t kelak sekiranya kita mati esok?

Untuk mengenang jasa tokoh-tokoh Islam yang telah pergi meninggalkan kita adalah dengan kita menyambung perjuangan mereka dan mendoakan mereka mendapat tempat yang baik di sisi Allah s.w.t. Contohi kegigihan mereka menuntut ilmu dan kekuatan mereka untuk menegakkan kalimah Tauhid di dunia ini. Mereka adalah pewaris para anbiyaa' yang perlu kita cintai dan contohi.

Perjuang-pejuang di Palestin memotivasikan diri mereka dengan kematian. Bagi mereka semua manusia juga akan mati, yang membezakannya adalah cara kematian. Lambat laun pasti mati, dengan sebab itulah mereka berjihad untuk mendapat kematian yang terbaik yakni mati Syahid. Slogan mereka "Hidup Mulia Mati Syahid". Mereka tidak mahu diperhambakan yahudi dan agama mereka Islam diperkotak katikkan oleh mereka yang kafir dan bencikan Islam. Apa yang telah kita lakukan untuk bantu mereka? Adakah kita hanya membiar saudara kita mati dibunuh tanpa ada perasaan dan usaha untuk membantu Tanah Suci kita itu selepas Makkah dan Madinah? Firman Allah s.w.t: "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masdijil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya....."(Al-Israa':1)

Ingatlah kita juga akan mati sepertimana mereka. Berdoa dan berusahalah semoga kita mati kelak dalam keadaan khusnul khotimah.
Firman Allah s.w.t: "Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam" (3:102)

Friday, June 12, 2009

Percintaan Remaja Sebelum Perkahwinan



Manusia diciptakan Allah berpasang-pasangan tetapi kita perlulah mengikut batas-batas yang telah ditetapkan Allah dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ramai manusia zaman ini tidak dapat menahan nafsu untuk bercinta selepas perkahwinan, ramai remaja yang sudah mempunyai teman lelaki atau teman perempuan di Universiti atau tempat kerja mereka sebelum perkahwinan. Tetapi perlulah mereka menjaga maruah mereka dengan perasaan malu kepada Allah. kerana Allah lah cinta hakiki yang perlu dinikmati semua manusia yang sering lalai dan alpa. Jangan kita menduakan Allah atau janganlah kita menolak keredhaan Allah dengan keredhaan manusia yang kita cintai. Sangat rugi lah mereka yang mengutamakan manusia dalam kehidupan seharian mereka. Yang pertama kita perlu menanamkan kecintaan kita adalah kepada Rabb kita Allah s.w.t kemudian Nabi Muhammad s.a.w dan barulah kedua ibu bapa kita yang membesar dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Selepas itu barulah kita menghadirkan kecintaan kita kepada kekasih hati kita dengan niat kita akan menikahi untuk dijadikan pasangan hidup kita, bukan untuk suka-suka atau berbangga ataupun mengikuti rakan-rakan dengan adanya suatu perhubungan yang tidak pasti. Yang terbaik adalah menjaga hati kita untuk bercinta selepas perkahwinan bagi sesiapa yang mampu.

Mungkin tips di bawah ini (daripada Dr Abdul Salam) boleh lah kita ikuti untuk dipraktik kan dalam kehidupan kita yang telah terlibat dalam percintaan sebelum perkahwinan kerana seseorang itu sentiasa dipengaruhi nafsu syahwat dan juga godaan syaitan supaya kita terjerumus ke lembah zina.

Untuk yang percintaan yang telah berlaku sebelum berkahwin:
1) Menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan
2) Menjaga maruah dan harga diri masing-masing
3) Mendapat restu dan kebenaran ibu bapa
4) Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percitaan yang dimiliki diredhai dan diberkati Allah
5) Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, dating, berpelukan, dan bercanda adalah haram sebelum perkahwinan.

Perlu diingatkan juga bahawa untuk mencari pasangan hidup yakni isteri ataupun suami hendaklah berpandukan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Pilihlah perempuan beragama, nescaya kamu diberkati Allah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan kebanyakkan lelaki memilih mengahwini seseorang perempuan itu disebabkan 4 perkara, harta, keturunan, kecantikan dan agama. Bukanlah Nabi s.a.w menyuruh kita memilih perempuan untuk dinikahi dengan keempat-empat kretiria tersebut tetapi Nabi s.a.w menyuruh kita memilih perempuan atau lelaki yang ingin dinikahi atas dasar agamanya yakni keimanan nya kepada Allah s.w.t. Inilah yang utama berbanding perkara lain sekiranya kita ingin diberkati Allah dalam kehidupan berkeluarga. Isteri atau suami kita dapat membawa kita atau mempengaruhi kita kearah kebaikan seperti perlakuan ahli syurga begitu juga ke arah kejahatan seperti perlakuan ahli neraka. Moga segala yang dikongsikan disini dapat kita jadikan panduan dan iktibar dalam menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Tuesday, June 9, 2009

Tanda-tanda Cintakan Allah


Adakah tanda yang menunjukkan seseorang itu benar cintakan Alla? Alim Ulama dalam tulisan mereka telah menerangkan beberapa irri sebagai tanda kecintaan kepada Allah.

Al-Hubbul Ilahi merupakan rasa rindu yang tercetus dari seorang hamba untuk bertemu dengan Tuhan dan mencapai keredhaanNya. Untuk mencapai tahap tertinggi ini tentulah dia itu ada iman yang kukuh, tidak ragu-ragu sikitpun dalam keimanannya. Ia menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai uswah hasanah, ikutan yang baik sebagai role model hidupnya baik dalam ibadat, perjuangan dan dalam perjalanan hidup sehariannya. Inilah antara sifat yang menjadi mercu tanda kecintaan Ilahi.

Firman Allah s.w.t: "Jika kamu cintakan Allah ikutlah aku, nescaya Allah cintakan kamu dan ia mengampuni dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Ali Imran:31)

Dalam menjelaskan alamat atau tanda cintakan Allah, Imam Qurtubi ketika mentafsirkan kata-kata Sahal bin Abdullah, seorang tokoh sufi terkenal, tentang maksud cintakan Allah, beliau berkata:

"Alamat kasihkan Allah, kasihkan al-Quran
Alamat kasihkan al-Quran, kasihkan ahli Quran dan banyak membacanya
Alamat kasihkan Quran, kasihkan Allah dan kasihkan Nabi
Alamat kasihkan Nabi, kasihkan sunnah
Alamat kasihkan Allah, kasihkan al-Quran, kasihkan Nabi, kasihkan sunnah ialah kasihkan akhirat
Alamat kasihkan akhirat ialah kasihkan dirinya;
Alamat kasihkan diri ialah bencikan dunia
Alamat bencikan dunia, ia tidak mengambilnya kecuali sekadar bekalan dan keperluan sahaja."

Wednesday, June 3, 2009

Hidupkan Al-Quran



Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi s.a.w untuk seluruh umat manusia. Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w kita mesti menjadikan al-Quran sebagai pegangan dan panduan hidup kita seharian. Untuk menghidupkan Al-Quran tidaklah hanya cukup dengan membaca nya sahaja, apatah lagi ada yang tidak menjadikan rutin harian untuk membaca al-Quran walaupun satu ayat. Mungkin ada yang membaca al-Quran seminggu sekali, sebulan sekali, atau setahun sekali. Lebih malang sekiranya langsung tidak membaca al-Quran kerana tidak reti membaca dan tidak berusaha untuk belajar membaca. Bagaimana mungkin kita dapat menjadikan al-Quran sebagai pembimbing dan menghidupkan semula generasi al-Quran yang telah hilang ditelan zaman. Mungkin ilmu-ilmu seperti matematik, sains, biologi, akaun dan sebagainya dianggap penting malah lebih penting daripada ilmu Islam salah satu nya ilmu al-Quran bagi sesetangah orang zaman ini. Sedangkan ilmu-ilmu inilah yang menjadi bekalan kita selepas mati.

Di Malaysia ada beberapa perubahan yang membantu umat islam di sini makin jauh kepada al-Quran. Sebagai contoh sebelum ini matapelajaran untuk tulisan Jawi telah dihapuskan dalam silibus pelajaran. Sekarang ini pula subjek untuk SPM hanya 10 sahaja yang dibenarkan. Langkah ini dikatakan untuk memberi kesamarataan atau keadilan kepada pelajar sekolah berasrama supaya mereka mendapat tajaan seperti JPA dan MARA. Tetapi bagaimana keadaanya dengan sekolah-sekolah agama yang mempunyai matapelajaran seperti Pendidikan Quran Sunnah, Pendidikan Syariah Islam, Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam dan lain-lain? Adakah ini yang dinamakan keadilan? Adakah kita ingin menyekat individu-individu yang mampu mempelajari sehingga 20 subjek? Memang benar kita ingin memberi keadilan kepada pelajar-pelajar sekolah asrama disebabkan mereka tidak dibenarkan mengambil matapelajaran yang lebih seperti sekolah harian, tetapi ini bukan jalan yang terbaik kerana ia tidak adil untuk semua pihak terutamanya pelajar yang mempunyai kecerdikan yang luar biasa dan mampu untuk mengambil subjek-subjek tambahan sebagai ilmu. Tidak perlu kita menyekat mereka yang dahagakan ilmu. Yang terbaik dan adil adalah membenarkan pelajar sekolah asrama mengambil subjek yang lebih seperti pelajar sekolah harian sekiranya mampu. Inilah keadilan yang sepatutnya dilakukan bukan menyekat pihak yang cerdik pandai mempelajari ilmu-ilmu yang mereka inginkan. Mengapa tidak berbuat seperti ini, adakah pihak sekolah asrama takut kerana ingin menjaga nama baik sekolah mereka? dimana keadilan yang sebenarnya?? fikirkanlah.....
**hanya untuk sekolah asrama yang terlibat**

Jalan untuk kita menghidupkan al-Quran:
1) Tilawah wa Tartil (selalu membaca dengan betul)
2) Tadabbur (merenungkan kandungannya)
3) Hafaz (menghafal)
4) Ta'lim (mengajarkan)
5) Istima' (sentiasa mendengarkannya)
6) At-Talaqi lil Amal (menerima untuk diamalkan)
7) Tahkim (menjadikannya sebagai pemutus perkara)
8) Manhaj al Hayah (dijadikan acuan hidup)

InsyaAllah kita cuba bersama menghidupkan al-Quran dengan cara-cara seperti diatas untuk bekalan kita menuju ke alam yang seterusnya.

Monday, June 1, 2009

Tokoh Sufi abad ke-3 Hijrah



Kenali tokoh-tokoh sufi secara ringkas, mereka ini banyak beribadah kerana kecintaan mereka kepada Allah. Mereka memahami apa yang manusia lain tidak faham. Mereka sedar dan yakin tanpa ada yang mampu menggugat keimanan mereka yang teguh. Mereka mengabdikan diri mereka sepenuhnya demi mencapai keredhaan Allah s.w.t. Ramai manusia yang tidak lagi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, apatah lagi untuk mencapai tahap ihsan ketika beribadah. Tidak ada lagi perasaan untuk mencintai Allah apatah lagi dengan usaha untuk memberi tumpuan yang penuh ketika beribadah. Tetapi apabila diberi suatu pekerjaan yang mendatangkan keuntungan lumayan yang sementara(dunia) ada yang sanggup menggadaikan keuntungan yang berkekalan(syurga). Sanggup meninggalkan solat, rasuah, riba', aurat dibuka dan sebagainya hanya untuk kesenangan dunia yang terlalu sedikit nilainya jika dibanding dengan nikmat syurga Allah.

Sedarlah,nikmat yang berikan kepada kita di dunia ini sudah cukup untuk kita nilai dan bandingkan harganya seperti penglihatan, pendengaran, anggota badan seperti tangan, kaki yang tidak mungkin kita jualkan dengan harga yang rendah. Marilah kita mencontohi Nabi s.a.w yang diriwayatkan sebagai "ahli ibadah pada malam hari dan panglima perang pada siang hari". Ini lah yang sepatutnya dilakukan umat Islam masa kini yang sudah lupa dan alpa terhadap kehidupan mereka di akhirat. Imbangilah kehidupan dunia kita ini untuk bekalan pada masa akan datang yang lebih bernilai.

1)Sari Saqati: Beliau Abu al-Hasan al-Sari bin al-Mughalis al-Saqati. Murid kepada Ma'ruf al-Karkhi. Tokoh ilmuwan terkenal pada zamannya. Alim dalam bidang ilmu zahir dan batin, dalam bidang al-kitab, as-sunnah, ilmu tauhid dan tasawuf. Beliau tokoh pertama memperkatakan soal-soal tasawuf di Baghdad, mencakupi persoalan hakikat, tauhid dari pandangan sufi, maqamat dan ahwal dan lain-lain. Pada mulanya seorang peniaga, tapi meninggalkan bidang tersebut kerana meneruskan penumpuan beribadat di rumahnya.

2)Al-Muhasibi: Abu Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi. Lahir di Basrah dan meninggal dunia di Baghdad tahun 243H bersamaan 857M. Mempelajari ilmu fiqah dari ulama mazhab Syafi'e. Alim ilmu fiqah, ilmu kalam dan tasawuf. Hidup zuhud, warak dan kuat beribadat di samping banyak mengarang kitab-kitab tentang ilmu tasawuf.

3) Zunnun al-Misri: Zunnun bin Ibrahim al-Misri. Namanya yang sebenar ialah Thauban bin Ibrahim. Lahir di Akhmim dari keluarga Naubiah. Hidup zuhud, tidak mementingkan kehidupan dunia dan banyak beribadat. Meninggal dunia di Jizah tahun 245H bersamaan 860M. Ini pengajarannya berkisar pada 4 perkara:
i. Mencintai Allah
ii. Bencikan yang sedikit (keduniaan)
iii. Menuntut al-Quran
iv. Takut tergelincir dari Islam

Abu Bakar Aceh telah menyenaraikan Tariqat-tariqat yang mu'tabar antaranya:

1) Qadiriyyah 2) Naqsybandiyyah
3) Syadhiliyyah 4) Rifa'iyyah
5) Dusuqiyyah 6) Akbariyyah
7) Maulawiyyah 8) Kubrawiyyah
9) Suhrawardiyyah 10) Khalwatiyyah


Bagaimanapun perlu di ingatkan bahawa yang utama adalah ilmu Tauhid dan Syariah, kemudian barulah ilmu tasawwuf. Jangan kita tersesat mengikuti Sheikh Mursyid yang palsu sehingga aqidah kita tergadai disebabkan kecetekan ilmu kita sendiri. Dalami ilmu Tauhid dahulu kerana ia adalah asas yang penting. Sekiranya asas sudah goyang bagaimana mahu mendirikan bangunan yang cantik dan indah??

Mencari Ilmu


Mencari ilmu dan menjadi orang berilmu adalah kewajipan kita sebagai muslim sepertimana tuntutan yang perlu dilaksanakan seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Setiap orang tidak kira ia masih pelajar mahupun yang sudah bekerja perlu mencari ilmu dan berusaha mempelajari sesuatu ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama. Segala bentuk ibadah yang dilakukan memerlukan ilmu supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna disamping memahami tujuan dan manfaat daripada ibadah tersebut. Allah berfirman: "Katakanlah: 'Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Az-Zumar : 9)

Bagi pandangan penulis sendiri sangat penting untuk kita melibatkan diri dengan usrah, rakan masjid, badan dakwah, atau apa-apa sahaja yang berkaitan untuk kita mempelajari dan saling menasihati antara satu sama lain supaya kita tidak terus hanyut dengan godaan dunia yang sementara ini. Ilmu lah yang mampu meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah dan memberi kita kekuatan untuk mengawal diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara maksiat. Allah berfirman: "...Allah meninggikan orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, beberapa darjat...." (Al-Mujadalah : 11)

Janganlah kita melepaskan peluang kita untuk terus mencari ilmu dengan segala kekuatan yang masih ada. Jangan kita membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk menambahkan ilmu kita untuk kehidupan di dunia dan terutamanya untuk kehidupan kita di akhirat kelak.

Dunia


Dunia merupakan transit kita sebelum kita menuju destinasi yang sebenar yakni akhirat samada syurga atau neraka. Mungkin ramai yang terlupa dan lalai mengenai tujuan sebenar kita di dunia ini. Firman Allah s.w.t: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu." Ramai manusia zaman ini tidak mengambil berat sama ada rezeki yang diperolehinya dari jalan yang haram mahupun haram. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya harta benda itu indah dan manis, sesiapa memperolehinya dengan jalan yang benar diberkati Allah baginya dalam harta benda itu. Tetapi betapa ramai orang yang berkecimpung di dalam harta Allah dan RasulNya dengan mengikut hawa nafsunya, tidak lain baginya pada hari kiamat nanti kecuali neraka." (Riwayat al-Turmudhi, Bab Zuhud, daripada Khaulah binti Qais)

Dunia ini hanya sementara dan merupakan fitnah bagi manusia yang lalai daripada tujuan sebenar dihidupkan di muka bumi ini. Ramai yang tertipu dengan kesenangan yang sementara sehinggakan mereka tidak lagi mementingkan kehidupan yang berlandaskan syariat Islam.
Sabda Nabi s.a.w.:”Aku tidak bimbang kamu ditimpa kefakiran,akan tetapi aku amat bimbang dunia ini terbuka luas bagi kamu sebagaimana ia telah terbuka luas bagi mereka yang sebelum kamu;maka kamu akan berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana mereka telah mengejarnya,dan akhirnya dunia membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka.”

Ramai yang pernah
mendengar Sabda Nabi s.a.w: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu hidup selama-lamanya dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari." Daripada hadis ini ada dua pandangan untuk difahami. Pertama, Nabi s.a.w menyuruh kita bekerja bersungguh-sungguh kerana kita hidup selama-lamanya dan kita juga perlu beribadat bersungguh-sungguh sebagai bekalan kerana esok kita akan mati. Kedua, kita tidak perlu bekerja mengejar dunia sehingga meninggalkan kehidupan akhirat kerana hidup masih panjang tetapi perlu beribadat bersungguh-sungguh kerana akan mati esok hari. Daripada kedua-dua pendapat ini boleh kita simpulkan bahawa kehidupan akhirat lah yang perlu kita utamakan tetapi kita juga perlu bekerja untuk kehidupan di dunia tanpa mengabaikan kehidupan akhirat kita. Contoh yang mudah difahami adalah seperti seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pada esok hari maka mereka akan mengulang kaji pelajaran bersungguh-sungguh pada malam tersebut sehingga tidak tidur tetapi sekiranya peperiksaan masih lambat kebanyakkan mereka tidak akan mengulang kaji pelajaran tetapi bermain game dan sebagainya. Begitu jugalah kita yang sebagai manusia yang diandaikan hidup selama-lamanya tidak perlulah kalut untuk mengumpulkan harta dunia sehingga meninggalkan kewajipan sebagai hamba Allah kerana masih banyak masa tetapi perlu beribadat bersungguh-sungguh untuk bekalan selepas mati kerana esok akan mati.

Sabda Nabi s.a.w: "Beradalah engkau di dunia ini seolah-olah engkau itu seorang dagang atau pengembara." Dan pernah Ibn Umar r.a berkata: "Apabila engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menantikan waktu petang, dan ambillah peluang waktu sihatmu untuk waktu sakitmu dan masa hidupmu untuk masa matimu." (Riwayat Bukhari)

Hidup adalah untuk mati. Janganlah kita menghancurkan kehidupan akhirat kita yang kekal abadi dengan urusan dunia yang sementara
.


”Ya Tuhan kami,ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”(3:147)