Wednesday, December 15, 2010

Ketuanan Melayu- TGNA


Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?

Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT?

Firman Allah SWT :

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ

Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)

Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka.

Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.

Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia.

Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah). Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.


Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun.

Firman Allah SWT :

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)

Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran.

Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?

Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.

Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.

Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Yang bermaksud : Yang menguasai di hari Pembalasan.

Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!



HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian

6 Muharram 1432H / 13 Disember 2010M


di copy dari blog http://madsha88.blogspot.com/

Tuesday, December 14, 2010

Futsal dan Puasa



Wahh..assalamualaikum semua [ada yang baca ke tidak, takpe lah andaikan ada jela kan..syok sendiri pun apa salahnya ;)]
lame dah tak update blog ni..orang kate bersawang dah...nak buat macam mane..perasaan malas tu sentiasa ada dalam diri yang lemah ini..hurmmm macam mane lah nak berbakti pada masyarakat nanti kalau masa sedikit untuk update blog ni pun tak dapat nak luangkan...27/10/2010 tarikh akhir update..huhu

pengumuman juga kepada yang bertanya yakni "Panduan Hidup" soalan anda telah saya jawab diruangan yang sama pada post yang bertajuk "Tanda-tanda Cintakan Allah."
kepada pembaca yang lain sekiranya ada yang ingin bertanya adalah lebih mudah dengan cara email...kerana saya khuatir soalan anda yang telah dijawab tidak dibaca oleh anda kerana tidak mengetahui ianya sudah dijawab. walaubagaimanapun ok je nak kalau nak komen je kat bawah tu, insyaAllah akan ada maklum balas nya :D


Jangan risau...post kali ini bukan pasal kahwin,cinta,nikah,remaja tetapi pasal Futsal dan Puasa :D
tapi...bila penulis post artikel tentang cinta,kahwin ni hit counter naik laju je..kalau benda lain agak slow skit..moga generasi yang mendatang dapat kawen awal mengelakkan perkara maksiat sebab remaja sekarang yang bakal jadi ibu dan bapa suka dan setuju tentang kahwin awal kan? ;)


Penulis sebenarnya baru sahaja ber riadah maen futsal bersama rakan-rakan dari UIA, Al-Manar, dan semestinya Al-Amin :D
target 4team yang datang 6team...alhamdulillah..Moga Allah beri kesihatan yang baik kepada kita sampai tua. moga dengan futsal dapat kita eratkan lagi hubungan kita sesama Muslim menepati Firman Allah yang bermaksud: "Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan diantara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman."(Al-Anfal: 1)

dengan futsal(sukan yang lain pun asalkan halal) ni juga sebenarnya mampu memperbaiki tali persaudaran antara kita...asalkan ianya berdasarkan ketaqwaan kepada Allah dan mempunyai semangat kesukanan yang baik. (jangan dok bergaduh plak..lain matlamat lain yang jadi..aku ketok dua-dua nanti.. :P)

Firman Allah: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu(yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh selamat."(Al-Hujurat: 10)

dan bila bermain ni sudah pasti akan ada yang menang dan yang kalah,adat la kan..so yang menang tu janganlah sombong...dan yang kalah tu usaha la lagi jangan kalah je lagi ;p

Firman Allah: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri." (Luqman: 18)

Sabda Nabi s.a.w: "Kamu tidak akan dapat memuaskan manusia dengan pemberian harta, tetapi mereka dapat dipuaskan dengan wajah-wajah kamu yang ceria dan akhlakmu yang baik."(diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

lepas bermain futsal, penulis dan beberapa rakan menghilangkan lapar dan dahaga di kedai mamak...sambil makan sambil buat lawak sambil pening-pening sikit..setting nak tengok bola Malaysia lawan Vietnam dan ntah berbagai lagi yang dibualkan termasuklah cadangan naik basikal sampai Seremban..dan alhamdulillah bersyukur sungguh penulis mempunyai teman(As-Sheikh Abdullah Umayr) yang saling ingat mengingati berkenaan ibadah iaitulah ibadah puasa di bulan Muharram ini. jadi marilah kita sama-sama lihat tentang puasa pada Hari 'Asyura ini, moga ianya bermanfaat dengan cara kita berpuasa juga, jangan baca je...

Rasulullah s.a.w tiba di Madinah mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyuura. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Hari apakah ini sehingga kalian berpuasa padanya?” Mereka (kaum Yahudi) menjawab: ”Ini adalah hari agung dimana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya serta menenggelamkan Fir’aun beserta kaumnya, lalu Musa berpuasa pada hari itu sebagai ungkapan syukur sehingga kamipun berpuasa.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda: ”Kami (kaum Muslimin) lebih berhak atas Musa daripada kalian (kaum Yahudi). Maka Rasulullah s.a.w pun berpuasa dan menyuruh (kaum muslimin) berpuasa.” (HR Muslim)


Ibnu Abbas berkata: “Aku tidak tahu Nabi s.a.w memperhatikan puasa satu hari yang lebih diutamakannya atas yang lainnya selain hari ini (Hari ’Asyuura) dan bulan ini, maksudnya bulan Ramadhan.” (HR Bukhary dan Muslim)


Rasulullah s.a.w bersabda: ”Puasa hari ‘Asyuura, saya memohon kepada Allah agar menjadikannya sebagai penebus (dosa) satu tahun sebelumnya.” (HR Muslim)

”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 133)


setelah melihat dalil-dalil berkaitan Hari 'Asyura sudah pasti ada yang tidak tahu bila hari 'Asyura ni? dan bagaimana cara melakukannya? wajib ke? boleh ke puasa sama macam Yahudi? jawapannya begini...

Hari Asyura adalah hari yang kesepuluh(10) pada bulan Muharram. berpuasa pada hari ini juga tidak wajib hanyalah sunnah yang bolehlah dikatakan sangat dituntut. Rasulullah s.a.w bersabda: 'Asyura adalah satu hari-hari Allah, jadi sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu buatlah sedemikian, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuat demikian."(HR Muslim 1136)

Pendapat Ibnu Qayyim pula mengatakan ada 3 cara melakukan puasa hari Asyura iaitu:
Terbaik adalah berpuasa sebelum atau selepasnya. Cara terbaik seterusnya adalah berpuasa pada hari (9) kesembilan dan (10) kesepuluh, cara ini merupakan yang paling banyak ditunjukkan dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Cara seterusnya ialah berpuasa pada hari yang (10) kesepuluh sahaja.


Yang terbaik ikutlah hadith Nabi s.a.w. berpuasa hari sebelum atau selepas nya juga…selamat beribadah :)


Rasulullah s.a.w bersabda: "Berpuasalah pada hari 'Asyura, tetapi lakukan berlainan dengan puak Yahudi iaitu dengan berpuasa pada hari sebelumnya atau hari selepasnya."(Musnad Ahmad 1/241 dan Sahih Ibnu Khuzaymah 2095)

Monday, November 1, 2010

Jangan Takut Kahwin Awal


di copy dari laman web asal:
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1068-jangan-takut-kahwin-awal.html

Nota : Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.

*****

Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.

Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.

Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.

"Seganlah. Nanti orang kata apa."

"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."

Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!

Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)

Wednesday, October 27, 2010

Doktor Dunia dan Akhirat






Alhamdulillah... bersyukur kita kepada Allah yang masih memberikan kita kesempatan meminta keampunan Allah dan beribadah kepadaNya. Sesungguhnya banyak sungguh maksiat yang dilakukan berbanding amal ibadat kita. Moga Allah memberikan kita petunjuk dan jadikan kita dikalangan hambaNya yang bertaqwa.

Post kali ini atas permintaan sahabat baik saya Fikri Rosely supaya di sebarkan suatu laman web yang sangat baik dan bermanfaat untuk kita tatapi bersama menyedut ilmu yang terkandung di dalamnya :)

Sebelum berkongsi laman web tersebut inginlah saya berbicara sedikit bersama para pembaca sekalian suatu tajuk yang saya dinamakan "Doktor Dunia dan Akhirat".

Firman Allah:"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya."(Ibrahim:34)
Begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sama ada kita sedar ataupun tidak. Allah memberikan kepada kita kesihatan yang baik supaya kita dapat berkerja, belajar, bersenam dan paling penting untuk beribadah kepadaNya yang merupakan tugas utama kita di dunia ini. Tidak mungkin kita mampu menggantikan atau mencipta(memproses) suatu yang setara dengan nikmat Allah yang asal. kaki palsu dengan kaki asal? alat pendengaran? cermin mata? reseptor rasa pada lidah? saraf-saraf dan reseptor pada kulit dan anggota lain? cukuplah apa yang ada ditubuh kita sahaja mana mungkin kita mampu menggantikannya seperti yang asal... ini masih belum kita hitung tentang laut, sungai, pokok(hutan) dan lain-lain. Inilah sebab nya TIDAK MUNGKIN TUHAN TIDAK WUJUD!!!! hanya manusia yang terlampau takabbur dengan ilmu yg sedikit dimilikinya itulah yang menyebabkan mereka berpendirian sebegitu. lihatlah alam ini, di manakah kita? mungkin seperti penulis, penulis tinggal ni Taman Rumah, Gombak, Selangor Darul Ehsan, Malaysia, Bumi, Sistem Suria, Galaksi Bina Sakti....hurmmm..apa ntah lagi..cuba lihat mana penulis???tak nampak kan...kita ni terlampau kerdil,jadi janganlah menyombong diri dengan ilmu yang sedikit tu..kita tak mampu buat pape pun senanye..

Dan ingatlah pesan Nabi Muhammad s.a.w: "Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." (HR Bukhari)
Inilah yang selalu berlaku pada kita, waktu muda yang masih sihat, kuat dan bertenaga ini kita sia-siakan dengan membuang masa kita dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk kita di dunia apatah lagi di akhirat kelak. Dan bila masa lapang kita buang-buang masa tu...malah ada saja masa yang kita buang tu dengan cara melakukan perkara yang maksiat. Jadilah ingatlah pesan Nabi Muhammad s.a.w supaya nikmat yang diberikan ini dapat kita gunakan dengan melakukan perkara yang baik dan bermanfaat.

Muqaddimah dah habes...so, sekarang sampai waktu untuk isi plak. Doktor Dunia dan Akhirat yang saya maksudkan adalah manusia yang dapat memberikan kita panduan dalam kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat. Doktor yang mampu menyampaikan dakwah, menerangkan keindahan dan kebenaran Islam. Ini termasuk juga lah mereka yang bergelar Arkitek, Jurutera, Akauntan, Polis, Tentera, Peguam, Hakim dan apa-apa sahaja pekerjaan mereka, yang utamanya mereka mampu menyampaikan Islam dan mengamalkannya sebaik mungkin. Dari sinilah barulah bangunan dan jalan tidak cepat retak dan roboh...rasuah tidak akan diberi dan diterima...dan masalah-masalah yang kita sedia maklum.

Moga sahabat saya yang bakal menjadi doktor perubatan keluaran UITM Mohd Fikri Rosely dan sahabat-sahabat yang lain seluruh dunia, dianugerahkan Allah dengan sifat yang mulia dan niat yang ikhlas serta meletakkan kesihatan itu datangnya daripada Allah...Allah hanya memberi kepada mereka suatu kelebihan untuk mereka mendapat pahala dengan cara mengubati pesakit-pesakit mereka dengan izin Allah. Allah memberi mereka keizinan memiliki ilmu untuk mengkaji dan mempunyai kepakaran dalam ilmu perubatan sebagai asbab kerana usaha mereka dalam mendapatkan kesihatan daripada Allah. Moga mereka menjadi doktor yang mampu mengingatkan dan mengajarkan pesakit mereka tentang solat, aurat, zikir, dan sebagainya dengan keadaan tertentu.

Jadilah doktor yang hebat seperti Doktor Danial Zainal Abidin dan Doktor Jamnul Azhar Mulkan... Mereka ini merupakan Doktor Perubatan yang hebat dalam bidang perubatan dan hebat juga dalam ilmu-ilmu Islam. Malah ada sahaja maklumat dan penerangan mereka ini lebih hebat daripada mereka yang bergelar Ustaz disebabkan ilmu mereka yang mencangkupi dua bidang tersebut. Doktor seperti inilah yang dapat mengubati penyakit jasmani dan rohani dengan pembuktian yang hebat dari segi saintifik yang bertepatan dengan Quran Sunnah. Doktor yang mampu mengubati penyakit lahiriah dan penyakit batiniah berkaitan dengan aqidah terutamanya yang merupakan penyakit yang paling merbahaya. Malah mereka yang bergelar Jurutera(IR Ahmad Jais Alias), Arkitek, Akauntan dan sebagainya juga ramai sahaja yang mampu menyampaikan Islam. Malah rakan usrah penulis sendiri seperti Akhi Fattah, Akhi Azim, Akhi `Asim, Akhi Bukhari, Akhi Munzir, Akhi Huzaifah dan ramai lagi yang mana mereka ini tidaklah mengambil jurusan Islam tetapi mereka mampu menyampaikan Islam dengan baik. (yang mengambil jurusan Islam yang terbaik seperti Akhi Umayr, Akhi Aizat, Akhi Uzzair, Akhi Khalis, Akhi Nuh). Wahh..rindu plak aku kat mereka ni semua. Jadi, tidak kiralah kita ini belajar secara formal dalam jurusan apapun pastikan kita mampu menyampaikan Islam sekurang-kurangnya tentang Ketuhanan, Kenabian, dan Hari Akhirat(Kiamat) kerana inilah perkara utama yang perlu kita fahami dan sampaikan.

Kesimpulannya, KALAU KAMU MUSLIM KAMU BELAJARLAH TENTANG ISLAM DAN SAMPAIKANLAH....IANYA UNTUK DIRIMU TERUTAMANYA...

layarilah website yang sangat bermanfaat ini yang dibuat oleh pelajar perubatan uitm:

Ya Allah Kau jadikanlah sahabatku Mohd Fikri Rosely hambaMu yang bertaqwa dalam kehidupannya, berikanlah kepadanya kebijaksanaan dan ilmu-ilmu dalam perubatan dan berdakwah, berikanlah kepadanya umur yang berkat, kesihatan yang baik dan kekuatan dalam menjalankan tugasnya sebagai Doktor Dunia dan Akhirat...Ameen..

sekian sahaja...terima kasih
"Tegakkan Islam dalam diri kamu...Nescaya Islam akan tertegak diatas bumi kamu"