Monday, June 15, 2009

Kematian

Firman Allah s.w.t: "Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan kembali"(Al-Anbiyaa':35)

Setiap manusia pasti akan mati tidak kira siapa pun dia samada ulama, mufti, perdana menteri, ataupun taiko judi. Semua makhluk akan menemui saat kematiannya termasuk para malaikat. Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi sakaratul maut? Adakah kubur kita nanti dari taman-taman syurga atau dari lubang-lubang neraka?

Sabda Nabi s.a.w: "Orang yang bijak adalah mereka yang mengingati mati dan bersedia untuknya."

Adakah kita seorang yang bijak? Bukan bijak matematik atau sains, tetapi bijak dalam menghadapi ujian Allah di dunia ini dan bersedia untuk kematian. Mungkin ada yang bijak separuh sahaja kerana kita tahu kita akan mati tetapi kita tidak bersedia untuknya. Sekiranya kita tergolong dalam golongan ini tersangat rugilah kita kerana kita menyedari akan hal ini tetapi tidak mahu bersedia. Ini di ibaratkan seperti seseorang yang sudah tahu akan ketiadaan air pada esok hari tetapi tidak mengambil langkah untuk menyimpan air dalam tempayan dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.

Untuk pengetahuan semua pada 13 Jun 2009, kesedihan melanda segenap jiwa umat islam dengan pemergian seorang tokoh gerakan Islam, Ilmuan serta pemikir Islam yang sangat berjasa, beliau adalah Dr Fathi Yakan, beliau amat popular dengan buku beliau "maza ya'ni intimai Ila Islam"(apakah erti saya menganut Islam). Buku beliau ini banyak digunakan dalam gerakan-gerakan Islam di kalangan murid-murid sekolah dan juga pelajar universiti. Beliau merupakan bekas ahli parlimen Lubnan atas tiket parti politik Islam. Adakah kita banyak berbakti kepada dunia Islam seperti beliau? Mari muhasabah diri kita sejauh mana yang telah kita berikan sumbangan terhadap umat Islam tidak kira sama ada dari segi ilmu mahupun ekonomi. Apakah yang kita akan bawa ke pengadilan Allah s.w.t kelak sekiranya kita mati esok?

Untuk mengenang jasa tokoh-tokoh Islam yang telah pergi meninggalkan kita adalah dengan kita menyambung perjuangan mereka dan mendoakan mereka mendapat tempat yang baik di sisi Allah s.w.t. Contohi kegigihan mereka menuntut ilmu dan kekuatan mereka untuk menegakkan kalimah Tauhid di dunia ini. Mereka adalah pewaris para anbiyaa' yang perlu kita cintai dan contohi.

Perjuang-pejuang di Palestin memotivasikan diri mereka dengan kematian. Bagi mereka semua manusia juga akan mati, yang membezakannya adalah cara kematian. Lambat laun pasti mati, dengan sebab itulah mereka berjihad untuk mendapat kematian yang terbaik yakni mati Syahid. Slogan mereka "Hidup Mulia Mati Syahid". Mereka tidak mahu diperhambakan yahudi dan agama mereka Islam diperkotak katikkan oleh mereka yang kafir dan bencikan Islam. Apa yang telah kita lakukan untuk bantu mereka? Adakah kita hanya membiar saudara kita mati dibunuh tanpa ada perasaan dan usaha untuk membantu Tanah Suci kita itu selepas Makkah dan Madinah? Firman Allah s.w.t: "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masdijil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya....."(Al-Israa':1)

Ingatlah kita juga akan mati sepertimana mereka. Berdoa dan berusahalah semoga kita mati kelak dalam keadaan khusnul khotimah.
Firman Allah s.w.t: "Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam" (3:102)

No comments:

Post a Comment