Friday, May 29, 2009

Kepentingan Khusyuk


Solat tidak berkesan tanpa Khusyuk. Mengikut al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu semasa Nabi s.a.w ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya semasa sedang bersolat maka beliau pun berkata, "Jika Khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya." Berhubung dengan Khusyuk Abu Dardak berkata, "Khusyuk ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan." Pendapat ini disebutkan di dalam al-Asas al-Tafsir oleh Said Hawa.

Asas kepada Khusyuk adalah kebersihan hati. Justeru, untuk Khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Keenam-enam itu, mengikut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, adalah "kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu." Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut kepada Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah sahaja tempat pergantungan manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.

No comments:

Post a Comment