Saturday, May 30, 2009

Jalan untuk berTaqarrub dan mendapat Kecintaan Allah


Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: "Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman: "Barangsiapa yang memusuhi wali Ku, maka Aku isytiharkan perang terhdapatnya. Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada Ku dengan mengerjakan amlan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada Ku, maka Aku akan melindunginya." (HR Bukhari dalam kitab ar-Raqqaaq)
Hadis ini terdapat sedikit tambahan di dalam riwayat Bukhari iaitu: "Tidaklah pernah Aku teragak-agak di dalam suatu perkara yang Aku lakukan, sebagaimana teragak-agaknya Aku untuk mencabut nyawa hamba Ku yang mukmin yang bencikan kematian sedangkan Aku tidak suka untuk menyakitinya."

Kandungan Hadis yang perlu dilaksanakan:

1) Sayangi Wali-wali Allah kerana mereka adalah hamba Allah yang terbaik dan perlu kita dampingi atau mendekati serta mencontohi mereka. Mereka melakukan ketaatan lagi ikhlas kepadaNya. Allah telah menyifatkan mereka dengan dua sifat di dalam al-Quran iaitu Iman dan Taqwa. Firman Allah: "Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tiada kekhuawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka yang selalu bertaqwa." (Yunus:62-63)

2) Jangan Memusuhi wali Allah kerana ia akan mengundang kemurkaan Allah kerana Allah mengisytiharkan bahawa Dia akan memerangi yakni membinasakan hambanya yang menyakiti seseorang mukmin yang bertaqwa atau menceroboh harta, jiwa dan kehormatannya. Hadis Aisyah r.a dalam kitab Musnad ada menyatakan; "Barangsiapa menyakiti seorang wali, bererti dia telah menghalalkan untuk Aku memeranginya."

3) Melaksanakan amal fardu adalah lebih utama dan disukai oleh Allah seperti dalam hadis Qudsi tadi firman Allah: "Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya." Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata: "Amalan yang paling afdal ialah melaksanakan amalan yang difardukan oleh Allah, menjauhi perkara yang diharamkan Nya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah s.w.t semata-mata."

4) Meninggalkan maksiat sebahagian daripada melaksanakan kefarduan, Allah telah menjelaskan bahawa sesiapa yang melanggar batas sempadan Nya dan melakukan maksiat, maka dia layak mendapat siksa yang pedih di dunia dan di akhirat. Bahkan kefarduan meninggalkan maksiat lebih didahulukan daripada kefarduan melaksanakan ketaatan, sebagaimana dinyatakan oleh hadis NAbi s.a.w: "Jika aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia menurut kemampuan kamu, dan jika aku melarang kamu daripada sesuatu, maka janganlah kamu mendekatinya."

5) Mendekatkan diri kepada Allah (Taqarrub) dengan perkara sunat, Taqarrub dan kecintaan ini tidak diperolehi kecuali setelah melaksanakan perkara fardu dan berusaha bersungguh-sungguh melakukan perkara sunat seperti solat, puasa, zakat serta haji... serta menahan diri daripada sekecil-kecil perkara makruh kerana Wara'. Jika ini dilakukan, maka ia akan melayakkan seseorang hamba untuk mendapat kecintaan Allah. Barangsiapa yang dicintai Allah, maka dia akan dianugerahkan kemanisan dalam melakukan amalan ketaatan, sibuk berzikir dan beribadat kepadaNya. Dengan itu dia layak untuk mendapat kedudukan yang tinggi dan bahagiannya di sisi Allah. Di dalam sahih Bukhari dan Muslim daripada Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t telah berfirman: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapku. Aku bersamanya di saat dia mengingatiKu. Jika dia menyebut Ku di dalam satu kumpulan, Aku menyebutnya di dalam kumpulan yang lebih baik lagi."

No comments:

Post a Comment