Monday, July 20, 2009

Satu Transformasi Di UniKL BMI


Alhamdulillah selesai sudah minggu induksi pada 12/7 bersamaan hari ahad sehingga 17/7 bersamaan hari jumaat. Walaupun sudah menjadi pelajar di sini selama 3tahun tetapi masih berstatus wajib untuk menghadiri minggu suai diri ini.

Pada awalnya agak keberatan juga mahu menghadirkan diri ke program seperti ini disebabkan pengalaman yang lampau yakni pada Julai 2006 kerana bagi penulis tidak ada faedah dan diperlakukan seperti budak-budak sekolah. Istilah "Ragging" ketika induksi ketika itu masih ada walaupun sudah dinamakan pelajar universiti.

Tetapi Alhamdulillah minggu induksi untuk S2 2009 kali ini yang dikelola oleh barisan ustaz-ustaz yang hebat seperti Ustaz Azahari, Ustaz Kamarulhysham, Ustaz Najhan dan Ustaz Ramli yang melakukan TRANSFORMASI menghapuskan budaya yang buruk yakni "Ragging". Serta tidak dilupakan para OC yang tidak kurang hebatnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dan dapat membantu dalam segala urusan yang penting pada minggu induksi ini seperti registration subject, MARA loan, Transfer Credit dan sebagainya. Tahniah kepada semua yang terlibat moga Allah membalas segala kebaikan anda dengan RahmatNya.

Penulis sangat berpuas hati dengan ada nya pengisian yang banyak dengan input atau point yang tersangat penting yang disampaikan pada minggu induksi kali ini. Apa yang penulis lihat perkara yang ditekankan adalah berkenaan Solat. Memang inilah yang penulis rasakan perkara utama yang perlu dititik beratkan oleh pihak Universiti malahan pihak Kerajaan juga, kerana akhir-akhir ini banyak kes-kes jenayah, bunuh diri, zina, dan sebagainya menjadi tatapan di dada-dada akhbar. Ini adalah disebabkan solat tidak lagi dirasakan sebagai kewajipan dan tidak lagi dititik beratkan para ibu bapa dan guru-guru di Malaysia ini. Sedangkan Nabi s.a.w menyuruh kita mengajar anak-anak solat pada usia 7tahun dan pukul dengan cara yang baik pada usia 10tahun sekiranya tidak melaksanakan solat. Bagaimana tindakan ibu bapa zaman ini terhadap suruhan melaksanakan solat??

Firman Allah: "Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar".
Ramai diantara kita termasuk diri penulis sendiri yang melewat-lewatkan solat dan tidak merasakan kekhusyukan serta kemanisan dalam melaksanakan ibadah solat disebabkan banyak maksiat yang dilakukan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Solat merupakan ibadah yang paling utama yang diibaratkan Nabi s.a.w sebagai kepala bagi manusia. Manusia boleh hidup tanpa tangan, mata, kaki, tetapi tidak mungkin ada manusia yang mampu hidup tanpa kepala. Nabi s.a.w juga menerima perintah solat ini secara terus daripada Allah semasa peristiwa Isra' Mikraj tanpa ada perantaraan dengan Malaikat Jibril. Solat juga tidak diterangkan dalam Al-Quran kerana tidak mahu akan ada kesilapan dalam memahami ayat sekiranya ada. Solat merupakan ibadah yang Nabi s.a.w ajarkan secara terperinci dalam bentuk praktikal.
Sabda Nabi s.a.w: "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat".

Marilah kita menjaga solat kita serta menambah dengan solat-solat sunat terutamanya solat malam(tahajjud). Banyak buku-buku yang dapat menerangkan kebaikan solat dari segi sains yang mungkin dapat menarik dan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dengan hati yang ikhlas. Perlu diingatkan nikmat yang diberi Allah kepada kita tersangat banyak maka mengapa kita tidak boleh menjaga kewajipan kita sebagai hambaNya yang bersyukur dalam melaksanakan ibadah solat yang tidak sampai 10minit sedangkan kita menikmati oksigen setiap saat??

Sementara ada kaki berdirilah menyembah Allah, sementara ada tangan angkatlah dengan membesarkan Allah, sementara ada suara laungkanlah kalam Allah, sementara ada mata lihatlah dan bacalah Al-Quran mukjizat agung Nabi s.a.w, semetara ada telinga dengarlah azan...dengarkanlah nikmat syurga dan azab neraka Allah s.w.t ketika al-Quran dibacakan.....sementara lutut masih kuat rukuk lah dengan sebenar-benar merendah diri....sujud lah didepan Allah dengan merasakan diri adalah hamba yang kerdil dan mengharapkan rahmat Allah, petunjuk daripada Allah dalam setiap hal yang dilakukan....

Bayangkan kita duduk di sesebuah daerah yang terletak di sebuah negeri yang terletak pula di sesebuah negara yang terletak di planet yang bernama Bumi yang merupakan salah satu planet di Sistem Suria yang terletak didalam Galaksi Bimasakti yang didalamnya ada berjuta Sistem lain yang menyerupai Sistem Suria yang mana Galaksi Bimasakti ini juga terletak di Alam Semesta yang mempunyai berbilion Galaksi lain yang menyerupai Galaksi Bimasakti maka masih nampakkah lagi Negara Malaysia mahupun Afrika? Bagaimana dengan kita, adakah kita seperti bebutir pasir di pantai atau lebih kecil lagi?? Maka mengapa kita masih lagi takabbur dan tidak melaksanakan tugas kita sebagai Khalifah Allah dan beribadah kepada Allah sebagai hambaNya yang mutlak? Firman Allah s.w.t: "Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia selain untuk beribadah kepadaKu".

Diantara penceramah yang mengisi masa dengan memberikan tazkirah ketika minggu induksi ini adalah Ustaz Sharhan, Ustaz Syarkila, Dr. Arip kasmo, Ustaz Firdaus dan Ustaz-ustaz yang tidak saya ingati nama mereka, moga Allah memberi rahmat dan hidayat kepada mereka yang menyeru ke Jalan Allah.

Sekian sahaja post kali ini yang diharap dapat memberi manfaat kepada para pembaca, wassalam.....

No comments:

Post a Comment