Thursday, December 31, 2009

Maksiat


Setiap manusia dimuka bumi ini pasti akan melakukan kesilapan tidak kira siapa pun dia, kerana ini adalah sifat fitrah manusia yang sering lupa dan alpa. Cuma yang membezakan seseorang itu adalah dia melakukannya dengan sengaja ataupun tidak, termasuk juga samada dia sudah mengambil langkah untuk mencegah dan berjaga-jaga supaya tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan atau tidak berusaha untuk mencegahnya.

Sesungguhnya orang yang terbaik disisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Saidina Umar pernah menghuraikan taqwa sebagai berhati-hati seperti kita berjalan dijalan yang penuh duri maka pasti kita akan berhati-hati supaya tidak tertusuk duri yang bertaburan tersebut. Maka adakah kita tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa? Persoalan ini umum kerana mungkin ada juga yang telah berhati-hati supaya dapat mencegah daripada perbuatan maksiat tetapi akhirnya gagal tanpa sedar. Ini juga bagi penulis merupakan salah satu permulaan untuk mendapatkan kemanisan sifat taqwa tetapi perlulah kesalahan tersebut diakhirkan dengan taubat yang ikhlas,menyesal dan tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi. Nabi s.a.w bersabda tidak ada mukmin yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

Secara tidak langsung ini menunjukkan kesalahan yang pertama itu adalah perkara biasa manusia secara fitrah, kerana tidak ada manusia yang sempurna seperti malaikat kerana manusia dibekalkan dengan nafsu. Taubat merupakan elemen yang penting dalam kehidupan manusia dan ketika itulah merupakan keadaan manusia paling hampir sekali dengan Tuhan mereka iaitu Allah swt. Maka janganlah kita cepat berputus asa, ingatlah Rahmat Allah itu lebih luas daripada KemurkaanNya.

Walaubagaimanapun jangan lah kita seolah-olah mengambil kesempatan atas keluasan Rahmat Allah kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Adakah kita mahu kita mati dalam keadaan melakukan maksiat kepada Allah? Minta la kepada Allah supaya kita dimatikan dalam keadaan Khusnul Khotimah. Mati itu pasti, dan sebaik-baik manusia adalah mereka yang mengingati mati dan bersedia dengan amal yang soleh bukan toleh.

Akhir sekali saya berpesan kepada diri saya yang tersangat hina dan lemah ini terutamanya, supaya menjaga segala suruhan dan larangan Allah untuk menjadi orang yang bertaqwa begitu juga dengan para pembaca sekalian, InsyaAllah.



**Lihat apa yng dikata bukan siapa yang berkata, moga dapat diambil manfaat :)

Friday, December 25, 2009

Masalah Dan Kesudahannya

Tulisan kali ini boleh dikatakan berlaku kepada semua manusia kerana kita semua tidak mungkin terlepas daripada masalah. Bermacam jenis masalah yang kita sebenarnya perlu tempuhi tidak kira samada kita suka atau tidak. Kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun orang tua pasti akan menghadapi masalah hanya jenis masalahnya sahaja yang berbeza.

Kanak-kanak akan mempunyai masalah seperti mengkehendaki sesuatu benda seperti permainan atau benda yang disukainya tetapi tidak dibelikan oleh ibu bapa atau penjaganya. Masalah yang timbul disini adalah kanak-kanak tersebut tidak mempunyai wang kerana masih menganggur ;p . Maka disini berlakunya masalah terhadap kanak-kanak ini, perasaan dan hatinya pasti tertekan apabila tidak mempunyai kudrat untuk memiliki sesuatu tanpa bantuan ibu bapa ataupun penjaga mereka. Masalah seperti ini mungkin diselesaikan dengan cara-cara yang tertentu bergantung kepada keadaan ekonomi ibu bapa atau penjaga mereka :) . Ini termasuk juga cara bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka. Tidak salah sekiranya mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak memberikan sesuatu perkara yang diminta dengan mudah. Tetapi penulis rasa perlu penulis ingatkan supaya ibu bapa atau penjaga memberikan kehidupan zaman kanak-kanak kepada meraka yang memerlukan.

Masalah yang kita dihadapi mungkin tidaklah besar sekiranya dibandingkan dengan saudara kita di Palestin, Iraq, Afganistan, Bosnia dan negara-negara lain yang mana umat Islam/saudara-saudara kita ditindas sehinggakan maruah dan aqidah mereka diperkotak-katikkan. Masalah yang kita hadapi masih dapat ditangani dengan beberapa bantuan daripada Allah melalui sahabat-sahabat, ahli keluarga dan manusia lain yang berada berhampiran kita tanpa ada apa-apa sekatan. Masalah yang kita hadapi kadangkala akan membuatkan kita rasa tertekan, marah, benci, geram, menangis dan kadangkala ketawa juga. Marah, benci, geram kepada keadaan sesuatu yang kita tidak mampu ubah dengan daya usaha kita tetapi dengan berubahnya sifat yang ada pada seseorang. Yang kita mampu hanyalah berdoa kepada Maha Pencipta supaya memberi taufiq dan hidayah kepadanya setelah kita berusaha(sedang berusaha lebih tepat kerana dakwah tidak terhenti tetapi memerlukan usaha yang berterusan).

Kerana wang juga kadangkala akan menyebabkan masalah. Wang bukan segalanya tetapi tanpa wang kita tidak dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan untuk kita menuju kesudahan masalah kita kelak. Tapi ingat, jangan jadikan wang sebagai penghalang kesudahan masalah kita dan penyebab masalah kita tidak selesai dan berterusan untuk tempoh ratusan mahupun ribuan tahun lagi. Perlu ingat dari mana wang kita dapat dan ke mana wang kita belanjakan. Zaman kini sekiranya kita ingin menuntut ilmu juga memerlukan wang, malah bukan dalam jumlah yang sedikit tetapi jumlah yang besar tidak kira kita ingin menuntut dalam bidang syariah, usuluddin, elektronik, arkitek, ekonomi, akaun atau dalam apa jua bidang sekali pun. Mungkin masih ada yang tidak sedar bahawa bantuan kewangan yang kita terima untuk bayar yuran dan juga elaun sara diri adalah pinjaman yang memerlukan kita membayarnya semula selepas tamat pengajian. Mungkin ketika ini kita tidak terasa susah malah sangat senang menerimanya tetapi adakah kita senang pada kemudian hari? atau kita akan bertambah susah untuk ratusan dan ribuan tahun kelak kerana tidak membayar HUTANG??

Kita juga perlu ingat jangan sampai mempertuhankan wang. Yang dimaksudkan adalah jangan kita sanggup melakukan sesuatu yang dilarang Allah seperti mencuri, rasuah, riba, dan sebagainya sehingga menutupi rongga-rongga hati dan injap-injap jantung kita. Ini adalah kekotoran yang kita tidak nampak pada akhir zaman ini. Gunakanlah cara Islam secara menyeluruh bukan hanya dari segi pakainan,makananan dan minuman tetapi juga dalam hal ehwal pembelian rumah, kereta, motor, tanah, dan sebagainya dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara pasti Islam adalah penyelesaian yang terbaik walaupun kadangkala kita tidak nampak di dunia tetapi pasti di akhirat kelak. Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu hidup selama-lamanya, maka mengapa perlu kamu kalut, bimbang, tergopoh gapah untuk mendapatkan dunia sedangkan masanya masih panjang.

Tetapi beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari, maka mengapa kamu masih leka dengan dunia yang akan kamu tinggalkan ini? Marilah beribadah.....berkerja untuk akhirat....dapatkan wang untuk kamu tanam benih-benih kehidupan di sana kelak. Hasil nya bukan di sini tapi di sana untuk selamanya. Di situ lah pengakhiran untuk segala macam jenis masalah. Jadilah kita hamba Allah yang bertaqwa.

Firman Allah: "Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah dia debu yang berterbangan." (56 : 4-6)

Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, mereka kekal didalamnya,mereka tidak ingin berpindah daripadanya." (18:107-108)



**Harap dapat difahami dan dihayati walaupun bahasa yang agak serabut....ngantok pepagi camni, afwan

Tuesday, December 22, 2009

Membina Generasi



Abad ini boleh dikatakan abad yang sangat mencabar untuk mendidik seseorang supaya menjadi seorang manusia yang tunduk dan patuh terhadap suruhan dan larangan Allah. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi untuk mendidik iman supaya kuat dan kukuh di zaman yang berteknologi tinggi ini. Hiburan dan maksiat yang bermaharajalela menjadi kan kita lupa dan alpa tentang tujuan kita diciptakan. Mendidik merupakan tugas yang sukar dan memerlukan kesabaran dan method yang pelbagai untuk mencapai tujuannya. Secara lazimnya para gurulah yang merupakan pendidik, tetapi tugas mendidik ini bukanlah hanya terletak diatas bahu para guru sahaja. Perlu kita sedar bahawa tugas mendidik sebenarnya lebih dipertanggungjawabkan keatas ibu dan bapa. Cuba kita kira berapa ramai ibu bapa yang mendidik dan menitik beratkan soal pendidikan Islam terhadap anak-anak mereka tidak kira dari sudut ilmu mahupun pada sudut amalan. Sebagai contoh, tidak ramai ibu bapa yang risau atau khuatir terhadap tahap bacaan Al-Quran anak-anak mereka, tetapi mereka lebih risau sekiranya anak-anak mereka tidak pandai mengira. Sedangkan Al-Quran merupakan perkara asas dalam kehidupan seseorang kerana Al-Quran merupakan wahyu Allah kepada manusia.

Cuba kita imbas kembali zaman silam yang mana ramai ilmuwan islam seperti Ibnu Haytsam yang pakar dalam bidang Optik, Ibnu Awwam yang pakar dalam bidang Pertanian, Ibnu Sina yang merupakan pakar Perubatan dan juga tokoh-tokoh yang sudah kita ketahui sedikit sebanyak tentang mereka yang mana mereka semua ini diajar ilmu Islam terlebih dahulu sebagai asas kehidupan mereka. Ibnu Sina contohnya sudah mampu menghafal al-Quran sejak umur 5tahun, begitu juga dengan tokoh-tokoh yang lain seperti Al-Biruni,Ibnu Rushd, Ar-Razi dan sebagainya. Inilah rahsia kejayaan mereka, setelah mereka mengenal Allah barulah senang untuk mendapat ilmu daripada Allah. Mereka memahami Al-Quran dan As-Sunnah sehinggakan mereka mendapatkan sebahagian ilmu perubatan, optik dan sebagainya berpunca daripada kefahaman mereka tentang isi kandungan al-Quran.

Tidak hairanlah perkara ini berlaku kerana Al-Quran merupakan Mukjizat Hissiy/Aqli. Cara untuk kita merasai Mukjizat yang diberikan Allah kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan kita mengkaji dan memahami Al-Quran itu sendiri. Mukjizat ini sangat istimewa kerana ia akan berterusan hingga kiamat tidak seperti Mukjizat Maknawi kerana ia terhenti disitu sahaja tidak dapat dirasai oleh generasi mendatang secara terus. Adakah zaman kita ini masih ramai yang faham akan isi kandungan Al-Quran? Bagi penulis soalan ini mungkin agak 'berat'.... lebih mudah atau lebih senang untuk kita ukur pencapaian kita sebagai umat Islam masa kini di negara ini adalah dengan bertanyakan "Adakah umat Islam di Malaysia ini semuanya reti baca Quran?" Inilah soalan yang lebih tepat dan mudah untuk kita lihat bagaimana keadaan umat Islam masa kini yang sangat celik Teknologi tapi buta agama. Ini juga belum ditanya tentang hukum tajwid apatah lagi untuk men'tadabbur' Al-Quran atau untuk Istimbat hukum. Mungkinkah kita sebagai orang awam tidak perlu tahu dan hanya serah bulat-bulat pada para Ustaz yang ada? Adakah kita mahu Ustaz-ustaz dan Ustazah sahaja yang memahami Islam dan mempunyai Iman yang kukuh? Tidak terfikirkah kita tentang Syurga dan Neraka?? Sekiranya semua anak-anak kecil mahupun dewasa memahami Islam dan mempraktikkannya dengan iman yang teguh sudah pasti tidak akan ada kes-kes jenayah seperti mencuri, meragut, merogol, membunuh dan sebagainya berlaku di negara yang mempunyai penduduk yang majoritinya menganuti ajaran Islam.

Mari kita lihat pula berapa ramai suami atau bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Berapa ramai suami dan bapa yang mengejut Isteri dan anak-anak mereka untuk Solat Subuh? Berapa ramai bapa yang mendidik anak-anak mereka solat berjemaah di surau ataupun masjid? Berapa ramai suami yang mengadakan perbincangan dengan isteri mereka dalam menghadapi sesuatu masalah? Berapa ramai suami dan bapa yang memberi tazkirah terhadap isteri dan anak-anak mereka selepas maghrib? Berapa ramai suami dan bapa yang mampu menjadi imam solat terhadap isteri dan anak-anak mereka? Dimana Lelaki yang mampu menyampaikan Suruhan dan Larangan Allah terhadap tanggungan mereka? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka....."(At-Tahrim:6)
Tidaklah segalanya saya hanya tujukan kepada suami dan bapa tetapi ini juga termasuklah tanggungjawab Isteri terhadap suami dan anak-anak, begitu juga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Sama-samalah bantu membantu dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Akhir sekali ingin saya berpesan pada diri saya sendiri terutamanya dan juga para pembaca yang saya kasihi sekalian marilah kita sama-sama usaha menghidupkan semula nilai-nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w kepada kita untuk membina sebuah keluarga yang bahagia di dunia dan di akhirat seterusnya membentuk generasi muda yang "soleh wa musleh" dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini insyaAllah.