Tuesday, December 22, 2009

Membina Generasi



Abad ini boleh dikatakan abad yang sangat mencabar untuk mendidik seseorang supaya menjadi seorang manusia yang tunduk dan patuh terhadap suruhan dan larangan Allah. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi untuk mendidik iman supaya kuat dan kukuh di zaman yang berteknologi tinggi ini. Hiburan dan maksiat yang bermaharajalela menjadi kan kita lupa dan alpa tentang tujuan kita diciptakan. Mendidik merupakan tugas yang sukar dan memerlukan kesabaran dan method yang pelbagai untuk mencapai tujuannya. Secara lazimnya para gurulah yang merupakan pendidik, tetapi tugas mendidik ini bukanlah hanya terletak diatas bahu para guru sahaja. Perlu kita sedar bahawa tugas mendidik sebenarnya lebih dipertanggungjawabkan keatas ibu dan bapa. Cuba kita kira berapa ramai ibu bapa yang mendidik dan menitik beratkan soal pendidikan Islam terhadap anak-anak mereka tidak kira dari sudut ilmu mahupun pada sudut amalan. Sebagai contoh, tidak ramai ibu bapa yang risau atau khuatir terhadap tahap bacaan Al-Quran anak-anak mereka, tetapi mereka lebih risau sekiranya anak-anak mereka tidak pandai mengira. Sedangkan Al-Quran merupakan perkara asas dalam kehidupan seseorang kerana Al-Quran merupakan wahyu Allah kepada manusia.

Cuba kita imbas kembali zaman silam yang mana ramai ilmuwan islam seperti Ibnu Haytsam yang pakar dalam bidang Optik, Ibnu Awwam yang pakar dalam bidang Pertanian, Ibnu Sina yang merupakan pakar Perubatan dan juga tokoh-tokoh yang sudah kita ketahui sedikit sebanyak tentang mereka yang mana mereka semua ini diajar ilmu Islam terlebih dahulu sebagai asas kehidupan mereka. Ibnu Sina contohnya sudah mampu menghafal al-Quran sejak umur 5tahun, begitu juga dengan tokoh-tokoh yang lain seperti Al-Biruni,Ibnu Rushd, Ar-Razi dan sebagainya. Inilah rahsia kejayaan mereka, setelah mereka mengenal Allah barulah senang untuk mendapat ilmu daripada Allah. Mereka memahami Al-Quran dan As-Sunnah sehinggakan mereka mendapatkan sebahagian ilmu perubatan, optik dan sebagainya berpunca daripada kefahaman mereka tentang isi kandungan al-Quran.

Tidak hairanlah perkara ini berlaku kerana Al-Quran merupakan Mukjizat Hissiy/Aqli. Cara untuk kita merasai Mukjizat yang diberikan Allah kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan kita mengkaji dan memahami Al-Quran itu sendiri. Mukjizat ini sangat istimewa kerana ia akan berterusan hingga kiamat tidak seperti Mukjizat Maknawi kerana ia terhenti disitu sahaja tidak dapat dirasai oleh generasi mendatang secara terus. Adakah zaman kita ini masih ramai yang faham akan isi kandungan Al-Quran? Bagi penulis soalan ini mungkin agak 'berat'.... lebih mudah atau lebih senang untuk kita ukur pencapaian kita sebagai umat Islam masa kini di negara ini adalah dengan bertanyakan "Adakah umat Islam di Malaysia ini semuanya reti baca Quran?" Inilah soalan yang lebih tepat dan mudah untuk kita lihat bagaimana keadaan umat Islam masa kini yang sangat celik Teknologi tapi buta agama. Ini juga belum ditanya tentang hukum tajwid apatah lagi untuk men'tadabbur' Al-Quran atau untuk Istimbat hukum. Mungkinkah kita sebagai orang awam tidak perlu tahu dan hanya serah bulat-bulat pada para Ustaz yang ada? Adakah kita mahu Ustaz-ustaz dan Ustazah sahaja yang memahami Islam dan mempunyai Iman yang kukuh? Tidak terfikirkah kita tentang Syurga dan Neraka?? Sekiranya semua anak-anak kecil mahupun dewasa memahami Islam dan mempraktikkannya dengan iman yang teguh sudah pasti tidak akan ada kes-kes jenayah seperti mencuri, meragut, merogol, membunuh dan sebagainya berlaku di negara yang mempunyai penduduk yang majoritinya menganuti ajaran Islam.

Mari kita lihat pula berapa ramai suami atau bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Berapa ramai suami dan bapa yang mengejut Isteri dan anak-anak mereka untuk Solat Subuh? Berapa ramai bapa yang mendidik anak-anak mereka solat berjemaah di surau ataupun masjid? Berapa ramai suami yang mengadakan perbincangan dengan isteri mereka dalam menghadapi sesuatu masalah? Berapa ramai suami dan bapa yang memberi tazkirah terhadap isteri dan anak-anak mereka selepas maghrib? Berapa ramai suami dan bapa yang mampu menjadi imam solat terhadap isteri dan anak-anak mereka? Dimana Lelaki yang mampu menyampaikan Suruhan dan Larangan Allah terhadap tanggungan mereka? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka....."(At-Tahrim:6)
Tidaklah segalanya saya hanya tujukan kepada suami dan bapa tetapi ini juga termasuklah tanggungjawab Isteri terhadap suami dan anak-anak, begitu juga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Sama-samalah bantu membantu dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Akhir sekali ingin saya berpesan pada diri saya sendiri terutamanya dan juga para pembaca yang saya kasihi sekalian marilah kita sama-sama usaha menghidupkan semula nilai-nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w kepada kita untuk membina sebuah keluarga yang bahagia di dunia dan di akhirat seterusnya membentuk generasi muda yang "soleh wa musleh" dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini insyaAllah.

1 comment: