Wednesday, July 29, 2009

Agama Hindu dan Pandangan Islam


Asal perkataan "Hindu"

Perkataan Hindu berasal daripada bahasa Sanskrit, merujuk kepada nama sungai yang mengalir di sempadan sebelah India, dikenali sebagai "Sindhu". Kemudiannya berubah menjadi "Indus" dalam bahasa Greek, sementara orang Parsi menyebut huruf "S" sebagai "H", jadilah sebutannya sebagai "Hindus".

Asal Usul Bangsa Hindu


Sekitar 4000 hingga 2000 tahun sebelum masihi bangsa Arya telah datang ke India yang kemudiannya bercampur dengan bangsa asal yakni bangsa Drawida maka dengan percampuran ini lahirlah bangsa Hindu. Bangsa Arya yang menganut agama Veda kemudian pendeta-pendata nya mengubah suai ajaran-ajaran Veda lalu timbullah agama Brahma. Perkataan "Brahma" bermaksud Tuhan yang Maha Esa, yang mencipta alam ini.

Ajaran-ajaran Hindu dan
Pandangan Islam

Diantara perkara yang terkandung dalam agama Hindu yang perlu kita tahu adalah mengenai:
  1. Kasta
  2. Kitab Suci
  3. Trimurti
  4. Reincarnasi
  5. Hukum Karma
Kasta

Dalam Islam tidak ada Kasta, malah semua manusia sama sahaja disisi Allah. Manusia tidak ada beza antara satu sama lain disisi Allah tidak kira kaya atau miskin, hitam atau putih, pangkat atau darjat dan sebagainya. Kerana yang memuliakan seseorang itu adalah sifat Taqwa yang ada dalam diri seseorang.
Firman Allah s.w.t: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling berTaqwa diantara kamu."(Al-Hujurat:13)

Kitab Suci


Penganut agama Hindu mempercayai kitab mereka adalah wahyu yang diterima para Resi. Bagi Islam, kitab-kitab samawi diturunkan kepada Rasul dan kandungan utamanya menjelaskan tentang aqidah tauhid, tentang keesaan Allah, tentang alam akhirat, kiamat, dosa pahala dan sebagainya yang merupakan ajaran pokok dalam agama Ilahi. Sedangkan kitab suci agama Hindu tidak mempunyai ciri-ciri tersebut dan tidak pula mempunyai bukti yang jelas. Justeru, Islam tidak mengkategorikan kitab-kitab tersebut sebagai wahyu Tuhan.

Trimurti

Antara dewa-dewa yang banyak yang menjadi kepercayaan penganut Hindu, Dewa Iswara (Maha Dewa) adalah dewa yang dianggap tertinggi, dialah yang menciptakan alam ini. Penganut Hindu mengakui adanya Tuhan yang satu yang tidak boleh disifatkan dengan sesuatu sifat. Mengikut kepercayaan orang-orang Hindu, Tuhan yang satu menjelma dalam tiga nama yang merupakan satu kesatuan yang dipanggil "Trimurti" terdiri daripada:
  1. Berahma : Dewa atau Tuhan Pencipta
  2. Wisynu : Dewa atau Tuhan yang menyeleggara dan menjaga alam ini
  3. Syiwa : Tuhan yang menghancurkan alam ini
Dikatakan pada asalnya konsep ketuhanan di kalangan penganut Hindu adalah betul di mana mereka mempercayai keesaan Tuhan, tetapi apabila mereka membahagikanNya kepada tiga bentuk menurut tugas-tugasNya yang berlainan, mereka telah menyeleweng daripada konsep kepercayaan yang asal.

Bagi Islam kepercayaan dan pemujaan terhadap dewa-dewa serta kepercayaan terhadap Trimurti adalah bertentangan dengan aqidah tauhid Islam yang mutlak. Bagi Islam, Allah Maha Esa dan tidak ada sekutu bagiNya, tidak ada tuhan yang disembah selain Allah.
Firman Allah: "Katakanlah: Dialah Allah, YAng Maha Esa. Allah adalah Tuhan tempat tumpuan segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan Nya." (al-Ikhlas:1-4)
Firman Allah lagi: " Dan hendaklah kamu menyembah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun." (an-Nisaa':36)

Reincarnasi

Reincarnasi atau Tanasukh al-Arwah tidak mungkin terjadi. Menurut Islam seseorang manusia apabila mati, rohnya tidak lagi menjelma ke alam ini. Ia berada di alam Barzakh.
Firman Allah: "(Keadaan orang-orang kafir) hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata:'Wahai Tuhanku! Kembalikanlah aku (ke dunia) agar dapat aku berbuat amal soleh yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah kata-kata yang diucapkan sahaja. Dan di belakang mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (al-Mukminun:99-100)

Hukum Karma

Agama Hindu dan Buddha mempercayai hukum karma iaitu kesengsaraan yang dialami oleh seseorang semasa hidup di dunia adalah akibat perbuatan jahat masa lalu. Dalam Islam, setiap manusia akan menerima balasan pahala atau dosa di akhirat.
Firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, dia akan melihatnya." (az-Zalzalah:7-8)


Buka hati dan minda serta tenangkan fikiran anda dan sama-sama kita fikirkan dan kaji lebih mendalam lagi mengenai agama manakah yang lebih sempurna dan tulen dari Tuhan Sekalian Alam untuk dijadikan panduan hidup untuk kita selamat di dunia dan di akhirat... Kita sebagai hambaNya wajib mencari perintah dan laranganNya untuk menjadi seorang Hamba yang patuh terhadap pencipta dan pemilik diri kita ini....




###Nantikan post akan datang mengenai Agama Buddha dan pandangan Islam terhadapnya.###

Sunday, July 26, 2009

Perbandingan Agama


Muqaranah al-Adyan atau Comparative Religion merupakan ilmu yang membahaskan tentang kepercayaan umat manusia. Diantara topik yang dibincangkan adalah mengenai:
1) Ketuhanan
2) Kerasulan

3) Kitab Pegangan
4) Dosa & Pahala
5) Alam Akhirat
6) Perkara Ghaib
7) Soal Akhlak

Agama yang wujud dimuka bumi ini boleh di bahagikan kepada 2 jenis:

1) Agama Samawiy : Agama langit yang Allah turunkan kepada Rasul-rasulNya untuk membimbing umat manusia dalam bab aqidah, ibadah, ketaatan kepada Allah.

2) Agama Wad'iy : Agama ciptaan manusia atau agama bumi, ia bukan syariat Allah. Segala ajarannya berdasarkan fikiran dan falsafah pengasasnya dan buku-buku susunan manusia.

Penulis akan mengupaskan sedikit pandangan Islam mengenai 5 jenis agama iaitu:

1) Agama Hindu
2) Agama Buddha
3) Agama Konfucius
3) Agama Yahudi
4) Agama Kristian


Bagi penulis tidak kira kita menganut agama apa sekalipun yang penting adakah kita mengaku wujudnya Tuhan yang menciptakan alam semesta ini? Sekiranya kita mengaku wujudnya Tuhan maka kita perlu atau bertanggungjawab untuk mencari suruhan dan larangan Tuhan kerana kita adalah hamba Tuhan. Ini merupakan tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

Secara mudah boleh dibahagikan seperti ini:


1) kita semua yakin bahawa kita diciptakan oleh tuhan yang satu Allah swt, Allah lah yang telah menciptakan alam semesta, binatang, dan tumbuhan.


2) Maka apabila tuhan telah menciptakan kita semua dengan segala kemudahan yang ada, jadi pastilah kita setuju bahawa kita adalah hamba dan harus mengikut segala kehendak dan suruhan tuhan.


3) Oleh itu, islam adalah agama yang sangat mudah untuk kita fahami kerana ia adalah fitrah yang sudah pasti ada dalam diri kita secara tidak langsung. Dan tugas kita sebagai hamba yang diciptakan adalah mencari kehendak dan suruhan pencipta kita, dan suruhan tersebut ialah agama yang benar.


4) Salah kalau kita katakana agama islam, kristian dan yahudi itu sama asalkan ia membawa kepada kebaikan. Kerana ajaran-ajaran didalam kitab-kitab suci agama-agama ini jelas berbeza… dalam islam Allah s.w.t memerintahkan para makhluknya untuk menyembah dia yang satu tanpa syirik… manakala bible pula memerintahkan supaya menyembah tuhan tiga dalam satu, sedangkan Al-Quran pula menolak konsep syirik ini dan Allah mengatakan dia hanyalah satu dan bukan dua atau tiga.


5) Disini mulalah tugas seorang hamba yang diciptakan untuk mencari ajaran tuhan yang benar-benar datang darinya. Maka siapa yang mengikut ajaran yang benar itu sahaja yang akan selamat didunia dan akhirat. Islam sememangnya menggalakkan kita sentiasa melakukan segala kebaikan, islam mengajar kita menghormati agama-agama lain dan menyayangi sesama manusia tak kira agama apa sekalipun,


Islam merangkumi semua aspek kehidupan dari mula hingga akhir A to Z. Ia termasuk politik, ekonomi, hubungan sesama munasia dan alam, akhlak, malah hubungan suami isteri juga terdapat petunjuk dalam islam. Setiap perbuatan ada adab yang diajarkan islam. Sebenarnya jika kita teliti secara mendalam kita akan mendapati ajaran-ajaran islam didatangkan hanyalah untuk menjamin maslahat untuk manusia itu sendiri dan menolak kemudharatan. Dan kesempurnaan ini tidak ada didalam agama lain dan pastilah agama yang benar daripada tuhan adalah agama yang sempurna.


Moga dapat diberi sedikit pendedahan awal mengenai Perbandingan Agama dan dapat menegakkan Kalimah Tauhid kepada rakan-rakan yang terdekat insyaAllah. InsyaAllah penulis akan memulakan Muqaranah al-Adyan ini mengenai agama Hindu dan pandangan Islam terhadap agama Hindu. Seterusnya pandangan Islam terhadap agama Buddha, Konfucius, Yahudi dan Kristian.


Sekian dahulu dari saya...wassalam



###Nantikan post akan datang mengenai Agama Hindu dan pandangan Islam terhadapnya.###

Monday, July 20, 2009

Satu Transformasi Di UniKL BMI


Alhamdulillah selesai sudah minggu induksi pada 12/7 bersamaan hari ahad sehingga 17/7 bersamaan hari jumaat. Walaupun sudah menjadi pelajar di sini selama 3tahun tetapi masih berstatus wajib untuk menghadiri minggu suai diri ini.

Pada awalnya agak keberatan juga mahu menghadirkan diri ke program seperti ini disebabkan pengalaman yang lampau yakni pada Julai 2006 kerana bagi penulis tidak ada faedah dan diperlakukan seperti budak-budak sekolah. Istilah "Ragging" ketika induksi ketika itu masih ada walaupun sudah dinamakan pelajar universiti.

Tetapi Alhamdulillah minggu induksi untuk S2 2009 kali ini yang dikelola oleh barisan ustaz-ustaz yang hebat seperti Ustaz Azahari, Ustaz Kamarulhysham, Ustaz Najhan dan Ustaz Ramli yang melakukan TRANSFORMASI menghapuskan budaya yang buruk yakni "Ragging". Serta tidak dilupakan para OC yang tidak kurang hebatnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dan dapat membantu dalam segala urusan yang penting pada minggu induksi ini seperti registration subject, MARA loan, Transfer Credit dan sebagainya. Tahniah kepada semua yang terlibat moga Allah membalas segala kebaikan anda dengan RahmatNya.

Penulis sangat berpuas hati dengan ada nya pengisian yang banyak dengan input atau point yang tersangat penting yang disampaikan pada minggu induksi kali ini. Apa yang penulis lihat perkara yang ditekankan adalah berkenaan Solat. Memang inilah yang penulis rasakan perkara utama yang perlu dititik beratkan oleh pihak Universiti malahan pihak Kerajaan juga, kerana akhir-akhir ini banyak kes-kes jenayah, bunuh diri, zina, dan sebagainya menjadi tatapan di dada-dada akhbar. Ini adalah disebabkan solat tidak lagi dirasakan sebagai kewajipan dan tidak lagi dititik beratkan para ibu bapa dan guru-guru di Malaysia ini. Sedangkan Nabi s.a.w menyuruh kita mengajar anak-anak solat pada usia 7tahun dan pukul dengan cara yang baik pada usia 10tahun sekiranya tidak melaksanakan solat. Bagaimana tindakan ibu bapa zaman ini terhadap suruhan melaksanakan solat??

Firman Allah: "Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar".
Ramai diantara kita termasuk diri penulis sendiri yang melewat-lewatkan solat dan tidak merasakan kekhusyukan serta kemanisan dalam melaksanakan ibadah solat disebabkan banyak maksiat yang dilakukan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Solat merupakan ibadah yang paling utama yang diibaratkan Nabi s.a.w sebagai kepala bagi manusia. Manusia boleh hidup tanpa tangan, mata, kaki, tetapi tidak mungkin ada manusia yang mampu hidup tanpa kepala. Nabi s.a.w juga menerima perintah solat ini secara terus daripada Allah semasa peristiwa Isra' Mikraj tanpa ada perantaraan dengan Malaikat Jibril. Solat juga tidak diterangkan dalam Al-Quran kerana tidak mahu akan ada kesilapan dalam memahami ayat sekiranya ada. Solat merupakan ibadah yang Nabi s.a.w ajarkan secara terperinci dalam bentuk praktikal.
Sabda Nabi s.a.w: "Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat".

Marilah kita menjaga solat kita serta menambah dengan solat-solat sunat terutamanya solat malam(tahajjud). Banyak buku-buku yang dapat menerangkan kebaikan solat dari segi sains yang mungkin dapat menarik dan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dengan hati yang ikhlas. Perlu diingatkan nikmat yang diberi Allah kepada kita tersangat banyak maka mengapa kita tidak boleh menjaga kewajipan kita sebagai hambaNya yang bersyukur dalam melaksanakan ibadah solat yang tidak sampai 10minit sedangkan kita menikmati oksigen setiap saat??

Sementara ada kaki berdirilah menyembah Allah, sementara ada tangan angkatlah dengan membesarkan Allah, sementara ada suara laungkanlah kalam Allah, sementara ada mata lihatlah dan bacalah Al-Quran mukjizat agung Nabi s.a.w, semetara ada telinga dengarlah azan...dengarkanlah nikmat syurga dan azab neraka Allah s.w.t ketika al-Quran dibacakan.....sementara lutut masih kuat rukuk lah dengan sebenar-benar merendah diri....sujud lah didepan Allah dengan merasakan diri adalah hamba yang kerdil dan mengharapkan rahmat Allah, petunjuk daripada Allah dalam setiap hal yang dilakukan....

Bayangkan kita duduk di sesebuah daerah yang terletak di sebuah negeri yang terletak pula di sesebuah negara yang terletak di planet yang bernama Bumi yang merupakan salah satu planet di Sistem Suria yang terletak didalam Galaksi Bimasakti yang didalamnya ada berjuta Sistem lain yang menyerupai Sistem Suria yang mana Galaksi Bimasakti ini juga terletak di Alam Semesta yang mempunyai berbilion Galaksi lain yang menyerupai Galaksi Bimasakti maka masih nampakkah lagi Negara Malaysia mahupun Afrika? Bagaimana dengan kita, adakah kita seperti bebutir pasir di pantai atau lebih kecil lagi?? Maka mengapa kita masih lagi takabbur dan tidak melaksanakan tugas kita sebagai Khalifah Allah dan beribadah kepada Allah sebagai hambaNya yang mutlak? Firman Allah s.w.t: "Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia selain untuk beribadah kepadaKu".

Diantara penceramah yang mengisi masa dengan memberikan tazkirah ketika minggu induksi ini adalah Ustaz Sharhan, Ustaz Syarkila, Dr. Arip kasmo, Ustaz Firdaus dan Ustaz-ustaz yang tidak saya ingati nama mereka, moga Allah memberi rahmat dan hidayat kepada mereka yang menyeru ke Jalan Allah.

Sekian sahaja post kali ini yang diharap dapat memberi manfaat kepada para pembaca, wassalam.....