Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan Al-Mubarak


Kesempatan ini eloklah kita berkongsi ilmu mengenai kelebihan Bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi supaya dapat kita memanfaatkan peluang yang diberi Allah s.w.t dengan kesihatan dan keupayaan untuk kita meningkatkan amalan kita dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh setelah setahun kita melakukan dosa atau maksiat tidak kira sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Dengan sebab ini penulis menangguhkan dahulu post mengenai Muqaranah Al-Adyan atau Perbandingan Agama yang masih berbaki tiga jenis agama lagi menurut pandangan Islam. Semoga post kali ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca insyaAllah.


Ramadhan Membawa Barakah


Sabda Nabi s.a.w: ”Telah datang kepada kamu Ramadhan bulan yang membawa barakah. Allah menyelubungi kamu, lalu Dia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu. Allah s.w.t memperkenankan doa dalam bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu dalam bulan Ramadhan dan menyampaikan kebanggaanNya terhadapa kamu kepada para Malaikat; oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepadaNya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada rahmatNya.”


Alhamdulillah…hanya tinggal beberapa hari sahaja kita akan menyambut bulan yang mulia yakni Bulan Ramadhan yang mana didalamnya juga ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Awalnya adalah Rahmat, Pertengahannya adalah Keampunan dan Akhirnya adalah Pembebasan Dari Api Neraka. Semoga dengan izin Allah kita dipanjangkan umur untuk kita meraikan bulan yang penuh barakah dan rahmat Allah ini dengan menambah amal ibadah kita yang berkualiti dan ikhlas kerana Allah. Jangan kita menjadi manusia yang rugi dan celaka kerana tidak mengambil peluang pada Ramadhan yang penuh keberkataan ini untuk mendapatkan keampunan dan rahmat Allah.


Dari segi makna juga Ramadhan telah memberi makna yang indah, sesuai dengan kalimah yang tersusun daripada lima huruf:

  1. Ra’ ====> Ridwaanullah (Keredhaan Allah)
  2. Mim ====> Maghfiratullah (Keampunan Allah)
  3. Dho ====> Dhomaanullah (Jaminan Allah)
  4. Alif ====> Ulfatullah (Kemesraan Allah)
  5. Nun ====> Ni’matullah (Anugerah Allah)


Ini bermakna:

    • Keredhaan Allah untuk orang yang taat.
    • Keampunan Allah untuk orang yang bertaubat.
    • Kemesraan Allah untuk orang yang tawaduk.
    • Jaminan Allah untuk orang yang bertaqwa.
    • Anugerah Allah untuk orang yang benar.


Inilah diantara keistimewaan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan kemuliaan, rahmat dan keberkatan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Semoga dengan kedatangan Ramadhan kali ini kita diberi pengampunan dan rahmat Allah s.w.t kepada kita. Ambillah peluang ini untuk kita memperbanyakkan amal ibadah dan kebajikan untuk membuktikan kita adalah hambaNya yang bersyukur dan mengharapkan keredhaanNya.


Sabda Nabi s.a.w: ”Bulan Ramdhan adalah bulan yang Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya, dan aku telah mensunatkan bagi kamu berdiri dan beribadah pada malamnya. Sesiapa yang berpuasa dan mendirikan solat malam(Qiamullail) disertai keimanan dan kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya keluar dosa-dosanya sehingga dia seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Abu Hurairah r.a)


Diantara Perkara Sunnah Ketika Berpuasa:

· Segera berbuka apabila masuk waktunya

· Membaca doa berbuka

· Berbuka dengan mendahulukan buah kurma

· Melambatkan makan sahur

· Mandi hadas besar sebelum terbit fajar

· Membanyakkan amalan sunnah seperti membaca Al-Quran, berzikir, dan solat-solat sunnah seperti Terawih, Tahajjud, dan lain-lain

· Iktikaf di dalam masjid


Diantara Adab-adab Ketika Puasa:

  • Jangan banyak meludah
  • Jangan membuang waktu dengan berbual kosong
  • Menjauhkan diri dari melihat perkara yang sia-sia
  • Elakkan dari mendengar perkara yang haram
  • Jangan mengeluarkan kata-kata yang lagha (mencarut, marah-marah, memaki hamun dan lain-lain)
  • Mengawal anggota dari melakukan perbuatan maksiat


Bacalah Al-Quran


Sabda Nabi s.a.w: ”Puasa dan Al-Quran memberi syafa’at kepada para hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: ’Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada makan dan minum serta mengikut syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafa’at kepadanya. Al-Quran berkata juga: ’Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkanlah aku memberi syafa’at kepadanya.’ Maka diterimalah syafa’at puasa dan al-Quran, lalu para hamba (yang rajin berpuasa dan membaca al-Quran di dunia masuk ke dalam syurga.”

(Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Abi Al-Dunya, Al-Tabrani dan Al-Hakim daripada Abdullah Ibnu Umar)


Membaca al-Quran merupakan ibadah yang utama dan sangat digalakkan serta memdapat banyak ganjaran daripada Allah s.w.t untuk sesiapa yang membaca Al-Quran, apatah lagi sekiranya seseorang itu dapat mengamalkan Al-Quran sebagai pedoman hidup secara menyeluruh. Dengan kesempatan bulan yang mulia ini marilah kita memperbanyakkan membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk sehari kepada sesiapa yang lancar bacaannya. Kepada sesiapa yang tidak lancar dan masih mempelajari al-Quran ambillah kesempatan bulan yang penuh barakah ini untuk mempelajari dan praktik kan setidak-tidaknya membaca satu muka surat sehari.


Sabda Nabi s.a.w: ”Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.”

(Riwayat Imam Bukhari daripada Usman)


Sabda Nabi s.a.w: ”Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu akan digandakan menjadi sepuluh yang seumpamanya. Tidaklah aku mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

(Riwayat Al-Tarmizi daripada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a)


Sabda Nabi s.a.w: ”Seutama-utama ibadah umatku, ialah membaca Al-Quran.”

(Riwayat Al-Baihaqi daripada Nu’man bin Basyir)


Janganlah kita sia-siakan peluang yang masih ada ketika sihat dan hidup ini dengan tidak memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana cara yang paling mudah untuk memdapat pahala adalah dengan membaca al-Quran. Oleh itu marilah kita hidupkan Al-Quran dan menjadi Generasi Al-Quran yang cemerlang di dunia dan akhirat, insyaAllah.


Keistimewaan Lailatur Qadar


Firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam ‘Lailatur Qadar’. Dan tahukah kamu apakah Lailatur Qadar itu? Lailatur Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan higga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr)



## Post akan datang insyaAllah akan kita kongsi bersama mengenai keistimewaan Lailatur Qadar dan pendapat para ulama Islam mengenai bila Lailatur Qadar itu berlaku serta beberapa amalan yang sangat digalakkan Nabi s.a.w. pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sekian sahaja, Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment