Tuesday, September 8, 2009

Malam Seribu Bulan


Sepanjang Ramadhan ini bagaimanakah amalan kita? Tidak rasa beruntungkah kita Allah masih mengizinkan kita menghirup oksigen dan memberi kita kekuatan? Sedangkan ramai yang tidak sempat menyambut bulan Ramadhan kali ini…. Mereka telah pergi buat selama-lamanya…. Tidak rasa beruntungkah?? Muhasabahlah diri kita supaya diberi taufiq dan hidayah Allah… Adakah kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai hambaNya? Siapakah kita untuk tidak patuh pada perintahNya?


Bukalah minda… Fikirlah dengan akal dan ilmu yang dibekalkan. Jika tidak tahu bertanyalah pada yang tahu. Jangan kita tertipu dengan dunia yang sementara. Kejarlah kehidupan akhirat kita yang abadi. Laksanakanlah segala perintah Allah s.w.t dan jauhilah segala laranganNya. Janganlah kita menjadi orang yang rugi walaupun diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan yang penuh barakah tetapi kita tetap tidak beramal dan beribadah, malah yang wajib juga kita masih tinggalkan apatah lagi yang sunnah, maka bagaimanakah kita mengharapkan rahmat dan pengampunan Allah kepada kelalaian kita sedangkan kita sengaja dan tidak berusaha memperbaikinya. Semoga sepuluh hari yang terakhir ini dapat kita gunakan sebaik-baiknya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.


Lailatur Qadar


Alhamdulillah kita telah diberi kesempatan oleh Allah untuk kita beribadah dan bertaubat di bulan yang penuh barakah ini. Dan kita akan menuju ke sepertiga terakhir Ramadhan, sangatlah diharapkan supaya Allah memanjangkan usia kita untuk kita beramal dan beribadah pada sepuluh malam terakhir ini dimana Lailatur Qadar terletak padanya, serta kita sangat mengharapkan rahmat, pengampunan dan pelepasan api Neraka daripada Allah s.w.t setelah kita berusaha dengan amal ibadah yang ikhlas sepanjang bulan Ramdhan ini insyaAllah.


Sesungguhnya “Lailatur Qadar” adalah satu malam yang mempunyai nilai lebih baik daripada seribu bulan. Jelasnya sesiapa yang beramal ibadah bertepatan dengan malam tersebut, maka pahalanya digandakan Allah dengan ketinggian lebih baik daripada pahala orang yang beramal selama seribu bulan (83 tahun 4 bulan).


Firman Allah: ”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam ‘Lailatur Qadar’. Dan tahukah kamu apakah Lailatur Qadar itu? Lailatur Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadar)


Bila Berlakunya Lailatur Qadar?


Para Ulama berselisih pendapat dalammenentukan waktu sebenar berlakunya Lailatur Qadar. Menurut satu riwayat, bahawa Nabi s.a.w sendiri pun tidak mengetahuinya dengan tepat, kerana pada mulanya Baginda tahu tanggal berlakunya malam tersebut, tetapi kemudian dengan taqdir Allah, Baginda s.a.w lupa. Hal ini mengandungi hikmah, iaitu mungkin agar umatnya tidak hanya tertumpu pada malam yang telah dimaklumi untuk melakukan amal ibadah, sedangkan malam-malam yang lain diabaikan.


Bagaimanapun, Baginda s.a.w masih dapat mengingati bahawa malam itu berlaku pada salah satu malam-malam ganjil sepuluh terakhir bulan Ramadhan.


Kebanyakkan sahabat Nabi s.a.w berpendapat, bahawa Lailatur Qadar itu berlaku pada hari ke-7 yang akhir daripada sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Menurut Ubai bin Ka’ab, Ibnu Abbas dan kebanyakkan sahabat yang lain, malam itu jatuh pada malam 27.


Menurut Ahmad Marzuq, bahawa Lailatur Qadar tetap pada malam jumaat, malam-malam yang ganjil dari akhir bulan Ramadhan. Pendapat ini adalah sesuai dengan pendapat Ibnu ‘Arabi.


Ibnu Hazam berpendapat, jika bulan Ramadhan 29 hari, maka sepuluh terakhir bermula malam 20, Malam Al-Qadar pada tahun itu jatuh pada malam 20, adakalanya malam 21, atau 23, atau 25, atau 27 dan ada kalanya malam 29.


Imam Ghazali mempunyai kaedah tersendiri untuk mengetahui malam berlakunya Lailatur Qadar daripada tiap-tiap bulan Ramadhan, iaitu menurut beliau hendaklah dipastikan hari permulaan Ramdhan:


Awal Ramadhan

Lailatur Qadar

Hari Ahad

Malam 29

Hari Isnin

Malam 21

Hari Selasa

Malam 24

Hari Rabu

Malam 20

Hari Khamis

Malam 25

Hari Jumaat

Malam 19

Hari Sabtu

Malam 23


Diantara tanda-tanda Lailatur Qadar adalah seperti Malam itu tidak panas dan tidak sejuk, Alam dalam keadaan terang benderang sekalipun di tempat-tempat yang gelap, Esok paginya matahari terbit dengan keadaan putih cerah, tidak mempunyai sinaran seperti hari-hari biasa. (Ini berdasarkan Hadis Hasan riwayat Al-Tarmizi)

Bagaimanapun, mengikut Al-Tabari, bahawa tanda-tanda yang tersebut tiada semestinya menjadi syarat bagi seseorang itu dapat menemui Malam Al-Qadar.


Kesimpulannya, untuk mendapat Malam Al-Qadar, hayatilah malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan, dengan melakukan iktikaf di masjid. Dan komitmen kearah itu hendaklah dimulakan daripada awal Ramadhan lagi. Dengan itu insyaAllah kita akan dapat bertemu malam yang penuh kemuliaan dan barakah itu, kerana ia memang berlaku pada salah satu daripada malam-malam yang tersebut. Selamat Beribadah :)

No comments:

Post a Comment