Monday, August 16, 2010

Kuliah Subuh Tuan Guru Nik Aziz


InsyaAllah di sini saya ingin berkongsi ilmu atau yang lebih tepatnya tazkirah yang saya dengar dari Tuan Guru Nik Aziz di masjid Rahimah Greenwood pada 5 Ramadhan 1431H bersamaan 15 Ogos 2010M. Disini saya hanya mampu menyampaikan apa yang masih saya ingat sahaja dan dalam bentuk point-point sahaja dan tidak mengikut ayat dan turutan sepertimana yang Tuan Guru sampaikan. Harap dapat saya berikan sesuatu kepada pembaca sekalian dengan perkongsian ini. Sekiranya ada yang tersilap harap dimaafkan.

1) Adab masuk masjid: a) Bersih dari najis dan berwudhuk
b) Masuk dengan kaki kanan
c) Selawat ke atas Nabi s.a.w

2) Allah merupakan Pencipta, manusia hanya proses contohnya eperti membina bangunan, manusia menggunakan pasir, batu, besi, air dan sebagainya yang mana bahan-bahan mentah tersebut udah dicipta Allah daripada tidak ada kepada ada. Manusia hanya proses sahaja bahan-bahan tersebut yang akhirnya menjadi bangunan.

3) Islam menyatukan semua bangsa tidak kira cina, melayu, arab, india, afrika, atau apa-apa bangsa sekalipun kerana tidak ada kelebihan sesuatu bangsa pun kecuali sifat ketaqwaan seseorang itu kepada Allah. Dan Islam mengajar kita bahawa asal kita semua daripada seorang bapa yang sama iaitu Nabi Adam a.s maka disini kita semua adalah satu bangsa yakni anak Nabi Adam a.s.

4) Nama-nama bulan yang digunakan umat Islam sekarang ini bukanlah ditentukan oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana nama-nama tersebut telah wujud sebelum kelahiran Nabi s.a.w dan ianya terus diguna pakai Nabi s.a.w kerana ianya sesuai dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang diwahyukan Allah. Islam tidak mengubah semua perkara menurut kehendak Islam kerana asalkan sesuatu itu bermanfaat maka ia boleh diterima ataupun diperbaiki berlandaskan syariat Islam.(disini Tuan Guru memberi contoh Dikir Barat dan wayang kulit yang menjadi adat masyarakat kelantan dan ianya boleh menurut Islam asalkan tidak hanya berkhayal tetapi perlu disini dengan nasihat yang baik supaya mengingati Allah)

5) Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dikalangan masyarakat yang sangat jahiliyyah dan sangat bermasalah terutamanya dari aspek kemanusiaan. Nabi s.a.w merupakn cikgu yang mengajar manusia cara kehidupan yang benar. Nabi merupakan doktor rohani yang mengubati penyakit umatnya. (diantara perkara yang berlaku sebeum kedatangan Nabi s.a.w seperti tanam anak perempuan[cerita tentang Umar dan anak perempuannnya], minum arak, berzina, tenung nasib, menipu, berperang dan bermusuh dengan kabilah-kabilah tertentu walaupun disebabkan perkara yang remeh, dan bermacam-macam lagi masalah yang diubati Nabi s.a.w)

6) Islam memupuk umatnya berdisiplin sepertimana ditentukan waktu solat dan rukun solat, tidak kira apa bangsa mahupun negara mana seseorang itu berada semuanya tetap sama. Bukti keistimewaan Islam ini dapat dilihat di Makkah yang mana umat Islam dari seluruh pelusuk dunia beribadah(solat) dengan seragam.

7) Tidak semestinya orang yang memberi tazkirah adalah ustaz-ustaz ulama sahaja, tetapi sesiapa sahaja boleh meberi tazkirah kerana tazkirah tujuannya adalah untuk mendidik dan memberi peringatan. Orang yang pertama mendidik kita adalah ibu, kemudian barulah guru-guru disekolah.

8) Pilihlah isteri disebabkan agamanya kerana jika dipilih isteri itu kerana kecantikannya maka kecantikannya pasti akan luput dimasa tua kelak. Berdasarkan hadis Nabi s.a.w tentang memilih isteri.

9) Hadas lebih tepat bermaksud perkara yang baru yang bukan dari salnya. Hadas ini bukan setakat dalam bentuk najis sahaja tetapi ianya termasuk dalam pelbagai bentuk seperti perangai yang bukan fitrah yakni perangai yang buruk termasuk juga sifat menolak kewujudan Tuhan kerana sifat kehambaan merupakan fitrah manusia itu sendiri.

10) Bukan makanan dan minuman sahaja yang ada halal dan haram, tetapi pakaian, rumah, kereta juga ada halal haram kerana jika asalnya duit kita itu daripada duit rasuah, riba`, maka ia juga menjadi haram.

11) Semua manusia pasti akan mati, di dunia inilah tempat kita mengumpul amal soleh sebagai bekalan bertemu dengan Tuhan yang menciptakan kita.

12) Berjemaah lah dimasjid kerana ianya adalah rumah Allah yang dirahmatiNya dan kita merupakan hamba Allah tidak boleh kita berlaku sombong dengan tidak hadir untuk menjadi tetamu Allah dan beribadah kepadaNya.

13) Segala sesuatu asalnya sudah pasti diciptakan Allah tidak kira sesuatu itu merupakan tumbuhan, langit, bumi serta manusia juga. Sayur dan pokok umpamanya tumbuh dari biji benihnya tetapi biji benihnya daripada apa? sudah pasti Allah lah yang menciptakan segala sesuatu itu diawalnya kemudian barulah ianya berkembang sepertimana yang dapat kita lihat sekarang. Sains dan teknologi masakini semakin lama semakin banyak dapat membuktikan alam semesta ini tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba ataupun secara kebetulan dan ia membuktikan kewujudan suatu kuasa besar yakni Allah menciptakan alam semsta ini. Dan manusia disuruh melihat alam ini dan berfikir serta mengkajinya. Cuma satu sahaja yang akal, mata, telinga dan segala deria yang manusia ada tidak dapat fikir atau mencapainya adalah Zat Allah s.w.t. Selain itu semuanya manusia mampu untuk berfikir dan mengkajinya tentangnya.

14) Semua perkara dan persoalan dapat diselesaikan oleh Islam tidak kira dari aspek apa pun dengan berteraskan Al-Quran dan Al-Hadis. Cuma kadangkala sesuatu itu tidak dicapai oleh kemajuan atau akal manusia pada sesuatu zaman itu seperti yang dapat dibuktikan kisah yang lepas tantang orbit, kejadian manusia, langit dan sebagainya tetapi semuanya sudah diterangkan Al-Quran dan Al-Hadis.

15) Jangan jadikan Qiamullail sebagai upacara tetapi jadikan ia sebagai ibadah termasuk juga amalan lain seperti puasa. Teruskan amalan dibulan Ramadhan ini pada bulan yang lain juga. Tujuan kita di dunia inilah adalah beribadah kepada Allah s.w.t.


Sekian sahaja daripada saya moga dapat diambil manfaat bersama, sekiranya ada perkara yang tidak jelas atau tidak faham bolehlah bertanya dengan ruang komen yang disediakan...terima kasih

Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment