Wednesday, June 9, 2010

Iman Penggerak Kehidupan


Iman merupakan keyakinan yang larut dalam diri, menguasai daya, kehendak dan rasa dalaman manusia. Keyakinan yang larut ini perlu wujud dalam pencapaian akal yang mampu menanggapi hakikat sesuatu yang wujud sehingga ke tahap yakin. Keyakinan ini mestilah diikuti kepatuhan iradah yang dijelmakan dengan perbuatan, disertai rasa kepanasan yang meransang jihad di jalan Allah. Al-Quran menggambarkan iman dalam akhlak yang hidup dan amal yang cemerlang. Ia membezakan mukmin dari yang lain.

Sekiranya seseorang itu mengakui dia beriman tetapi tidak lahir dalam bentuk perbuatannya, ia sebenarnya hanyalah idea, pendapat atau teori yang difikirkan sahaja. Kerana Iman yang mencapai tahap yakin merupakan penggerak segala sesuatu dalam perbuatan manusia. Sebagai contoh seseorang yang terserempak dengan seekor harimau di dalam hutan sudah pasti dia akan cuba melarikan diri supaya dirinya selamat daripada menjadi mangsa atau makanan harimau tersebut. Inilah yang dinamakan yakin, sekiranya dia tidak yakin harimau itu akan mencederakannya sudah pasti dia tidak melarikan diri malah membelai harimau itu seperti seekor kucing.

Kta perlu tahu intipati iman yang wujud bersama manusia sejak kecil dan tidak berpisah dengannya hingga ke usia tua. Kekuatan iman ini mendominasi segala tindak tanduk manusia. Iman yang dijasadkan dalam aqidah dan dijelmakan dalam enam rukun iman. Aqidah ini membolehkan manusia mentafsirkan hakikat wujud dan kelahirannya dengan menjawab tiga soalan: dari mana? Ke mana? Untuk apa? Aqidah ini murni dan menjadi risalah para rasul dari Nabi Adam a.s sehingga Nabi junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Risalah ini tetap dan tidak berubah dari dulu hingga sekarang. Risalah Islam datang untuk membersihkan aqidah daripada syubhat dan penyelewengan. Islam hanya memurnikan kembali aqidah mengenai Uluhiyyah, Nubuwah, hari akhirat dan lain-lain. Unsur-unsur aqidah yang utama: Beriman kepada Allah, Para Rasul dan Hari kiamat.

Pada zaman moden ini aspek keimanan kurang ditekankan sehingga ramai umat Islam yang hanya Islamnya diatas plastik my kad sahaja tetapi hati mereka kosong tanpa ada rasa yakin dengan aqidah Islam. Sistem pendidikan Islam di Malaysia ini juga kurang menekankan Aqidah Islam tetapi melebihkan dalam aspek Syariah. Sedangkan Aqidah itu merupakan tunjang utama yang perlu dititik beratkan kerana tanpa Aqidah yang kuat sudah pasti Syariah tidak akan dijalankan. Boleh dikatakan ayat Al-Quran jenis Makiyyah kebanyakkannya menekankan aspek aqidah diwahyukan kepada Nabi s.a.w selama 13 tahun manakala ayat Al-Quran jenis Madaniyyah pula selama 10 tahun yang kebanyakkannya tentang hukum-hakam atau syariah. Di sini kita dapat lihat bagaimana Allah mentarbiah para sahabat melalui Nabi s.a.w dengan menguatkan keimanan mereka kemudian barulah diturunkan pula tentang hukum-hakam dan sebagainya.

Aqidah yang akan memberi keimanan sehingga tahap yakin inilah merupakan penyelesaian kepada segala permasalah yang berlaku dizaman ini tidak kira ia melibatkan orang lain seperti mencuri, merompak, rogol, ragut, membunuh mahupun hanya melibatkan diri sendiri secara umumnya seperti berzina, berjudi, minum arak dan sebagainya. Segala masalah ini dapat diselesaikan dengan kita kembali semula kepada kehidupan berlandaskan Islam.

Perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Sekian…

No comments:

Post a Comment