Monday, March 15, 2010

Inai atau Henna


Penjelasan Pertama:

Imam An-Nawawi dalam fatwa al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai henna di tangan dan kaki mereka.

Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula, lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh anggota kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.

Ini diriwayatkan daripada Khawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah S.A.W memberitahu kepada Ummu Salamah, “Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian.” (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma’rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed)

Diriwayatkan dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada Baginda s.a.w. lalu baginda melihat tangan itu seraya Baginda bersabda: “Aku tidak tahu sama ada ini tangan lelaki atau perempuan.” Perempuan itu menjawab: “Aku adalah seorang wanita.” Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (HR Abu Dawud)

Dua hadith di dalam hal ini, wanita diharuskan memakai inai pada tangan dan kaki mereka. Tetapi berwaspada sekiranya tujuan pemakaiannya adalah untuk seperti memakai wangian dengan tujuan tabarruj, maka ia adalah haram.

Hadith yang kedua, bahawa galakan Rasulullah S.A.W menyuruh kaum wanita untuk memakai inai pada tangan adalah untuk berbeza antara lelaki dan perempuan. Di sini datang pula hadith Nabi s.a.w bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Rujukan:
Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq.

Penjelasan Kedua:

Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)” (Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)
Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.

Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur .

Penjelasan ketiga:

Tarikh Keputusan: 2 Oct, 2009

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam para fuqaha’ sepakat memutuskan bahawa pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
  4. Muzakarah juga bersetuju supaya garis panduan pemakaian inai ini disediakan oleh JAKIM dengan memasukkan bersama nas-nas hadis yang berkaitan dengan unsur-unsur syirik dalam penggunaan corak atau ukiran inai.

Rujukan: http://e-fatwa.intranetportal.my/

Pandangan Penulis:

Setelah meneliti ketiga-tiga penjelasan daripada Fiqhus Sunnah hasil tulisan Sayyid Sabiq, pendapat yang dikemukakan Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz dan juga fatwa daripada Majlis Muzakarah yang dipetik daripada e-fatwa dapat penulis simpulkan bahawa jalan tengah yang terbaik dan juga lebih selamat untuk sesiapa yang ingin memakai inai bagi wanita hanyalah dihujung jari sahaja (tanpa ada bentuk atau lukisan yang tidak dibenarkan syarak) kerana inai ini juga termasuk dalam kumpulan wangian sepertimana sabda Nabi s.a.w: “Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian.” (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma’rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed). Maka sesiapa yang memakai secara berlebihan ia dikira tabarruj maka hukumnya adalah haram. Lelaki pula sangat-sangat tidak digalakkan memakai inai kerana sabda Nabi s.a.w: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (HR Abu Dawud). Ini secara tidak langsung Hadis ini menunjukkan pemakaian inai kebiasaannya adalah perhiasan untuk wanita maka lelaki yang menyerupai wanita adalah dilarang. Kerana di sini datang pula hadis Nabi s.a.w bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. Sekian sahaja, wallahhua’lam

No comments:

Post a Comment