Monday, August 23, 2010

Kesilapan Kerap Dalam Bulan Ramadhan


Ilmu yang sangat bermanfaat tentang kesilapan kita dalam bulan Ramadhan ini. Harap pembaca terus ke website Ustaz Zaharuddin untuk penerangan dan dalil yang dilampirkan supaya lebih difahami.
sila klik link ini:

http://www.zaharuddin.net/content/view/148/72/

penulis tidak mempunyai kesempatan untuk menulis semula dengan olahan fahaman penulis sendiri ataupun meringkaskannya, maka adalah lebih baik dibaca pada tulisan asal Yang Berbahagia Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.

Monday, August 16, 2010

Kuliah Subuh Tuan Guru Nik Aziz


InsyaAllah di sini saya ingin berkongsi ilmu atau yang lebih tepatnya tazkirah yang saya dengar dari Tuan Guru Nik Aziz di masjid Rahimah Greenwood pada 5 Ramadhan 1431H bersamaan 15 Ogos 2010M. Disini saya hanya mampu menyampaikan apa yang masih saya ingat sahaja dan dalam bentuk point-point sahaja dan tidak mengikut ayat dan turutan sepertimana yang Tuan Guru sampaikan. Harap dapat saya berikan sesuatu kepada pembaca sekalian dengan perkongsian ini. Sekiranya ada yang tersilap harap dimaafkan.

1) Adab masuk masjid: a) Bersih dari najis dan berwudhuk
b) Masuk dengan kaki kanan
c) Selawat ke atas Nabi s.a.w

2) Allah merupakan Pencipta, manusia hanya proses contohnya eperti membina bangunan, manusia menggunakan pasir, batu, besi, air dan sebagainya yang mana bahan-bahan mentah tersebut udah dicipta Allah daripada tidak ada kepada ada. Manusia hanya proses sahaja bahan-bahan tersebut yang akhirnya menjadi bangunan.

3) Islam menyatukan semua bangsa tidak kira cina, melayu, arab, india, afrika, atau apa-apa bangsa sekalipun kerana tidak ada kelebihan sesuatu bangsa pun kecuali sifat ketaqwaan seseorang itu kepada Allah. Dan Islam mengajar kita bahawa asal kita semua daripada seorang bapa yang sama iaitu Nabi Adam a.s maka disini kita semua adalah satu bangsa yakni anak Nabi Adam a.s.

4) Nama-nama bulan yang digunakan umat Islam sekarang ini bukanlah ditentukan oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana nama-nama tersebut telah wujud sebelum kelahiran Nabi s.a.w dan ianya terus diguna pakai Nabi s.a.w kerana ianya sesuai dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang diwahyukan Allah. Islam tidak mengubah semua perkara menurut kehendak Islam kerana asalkan sesuatu itu bermanfaat maka ia boleh diterima ataupun diperbaiki berlandaskan syariat Islam.(disini Tuan Guru memberi contoh Dikir Barat dan wayang kulit yang menjadi adat masyarakat kelantan dan ianya boleh menurut Islam asalkan tidak hanya berkhayal tetapi perlu disini dengan nasihat yang baik supaya mengingati Allah)

5) Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dikalangan masyarakat yang sangat jahiliyyah dan sangat bermasalah terutamanya dari aspek kemanusiaan. Nabi s.a.w merupakn cikgu yang mengajar manusia cara kehidupan yang benar. Nabi merupakan doktor rohani yang mengubati penyakit umatnya. (diantara perkara yang berlaku sebeum kedatangan Nabi s.a.w seperti tanam anak perempuan[cerita tentang Umar dan anak perempuannnya], minum arak, berzina, tenung nasib, menipu, berperang dan bermusuh dengan kabilah-kabilah tertentu walaupun disebabkan perkara yang remeh, dan bermacam-macam lagi masalah yang diubati Nabi s.a.w)

6) Islam memupuk umatnya berdisiplin sepertimana ditentukan waktu solat dan rukun solat, tidak kira apa bangsa mahupun negara mana seseorang itu berada semuanya tetap sama. Bukti keistimewaan Islam ini dapat dilihat di Makkah yang mana umat Islam dari seluruh pelusuk dunia beribadah(solat) dengan seragam.

7) Tidak semestinya orang yang memberi tazkirah adalah ustaz-ustaz ulama sahaja, tetapi sesiapa sahaja boleh meberi tazkirah kerana tazkirah tujuannya adalah untuk mendidik dan memberi peringatan. Orang yang pertama mendidik kita adalah ibu, kemudian barulah guru-guru disekolah.

8) Pilihlah isteri disebabkan agamanya kerana jika dipilih isteri itu kerana kecantikannya maka kecantikannya pasti akan luput dimasa tua kelak. Berdasarkan hadis Nabi s.a.w tentang memilih isteri.

9) Hadas lebih tepat bermaksud perkara yang baru yang bukan dari salnya. Hadas ini bukan setakat dalam bentuk najis sahaja tetapi ianya termasuk dalam pelbagai bentuk seperti perangai yang bukan fitrah yakni perangai yang buruk termasuk juga sifat menolak kewujudan Tuhan kerana sifat kehambaan merupakan fitrah manusia itu sendiri.

10) Bukan makanan dan minuman sahaja yang ada halal dan haram, tetapi pakaian, rumah, kereta juga ada halal haram kerana jika asalnya duit kita itu daripada duit rasuah, riba`, maka ia juga menjadi haram.

11) Semua manusia pasti akan mati, di dunia inilah tempat kita mengumpul amal soleh sebagai bekalan bertemu dengan Tuhan yang menciptakan kita.

12) Berjemaah lah dimasjid kerana ianya adalah rumah Allah yang dirahmatiNya dan kita merupakan hamba Allah tidak boleh kita berlaku sombong dengan tidak hadir untuk menjadi tetamu Allah dan beribadah kepadaNya.

13) Segala sesuatu asalnya sudah pasti diciptakan Allah tidak kira sesuatu itu merupakan tumbuhan, langit, bumi serta manusia juga. Sayur dan pokok umpamanya tumbuh dari biji benihnya tetapi biji benihnya daripada apa? sudah pasti Allah lah yang menciptakan segala sesuatu itu diawalnya kemudian barulah ianya berkembang sepertimana yang dapat kita lihat sekarang. Sains dan teknologi masakini semakin lama semakin banyak dapat membuktikan alam semesta ini tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba ataupun secara kebetulan dan ia membuktikan kewujudan suatu kuasa besar yakni Allah menciptakan alam semsta ini. Dan manusia disuruh melihat alam ini dan berfikir serta mengkajinya. Cuma satu sahaja yang akal, mata, telinga dan segala deria yang manusia ada tidak dapat fikir atau mencapainya adalah Zat Allah s.w.t. Selain itu semuanya manusia mampu untuk berfikir dan mengkajinya tentangnya.

14) Semua perkara dan persoalan dapat diselesaikan oleh Islam tidak kira dari aspek apa pun dengan berteraskan Al-Quran dan Al-Hadis. Cuma kadangkala sesuatu itu tidak dicapai oleh kemajuan atau akal manusia pada sesuatu zaman itu seperti yang dapat dibuktikan kisah yang lepas tantang orbit, kejadian manusia, langit dan sebagainya tetapi semuanya sudah diterangkan Al-Quran dan Al-Hadis.

15) Jangan jadikan Qiamullail sebagai upacara tetapi jadikan ia sebagai ibadah termasuk juga amalan lain seperti puasa. Teruskan amalan dibulan Ramadhan ini pada bulan yang lain juga. Tujuan kita di dunia inilah adalah beribadah kepada Allah s.w.t.


Sekian sahaja daripada saya moga dapat diambil manfaat bersama, sekiranya ada perkara yang tidak jelas atau tidak faham bolehlah bertanya dengan ruang komen yang disediakan...terima kasih

Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday, August 10, 2010

Berpuasa dan Bertaqwa


Alhamdulillah syukur kita kepada Allah yang memberi kesempatan kepada kita menyambut bulan Ramadhan yang penuh Barakah ini, maka janganlah kita sia-siakan nya. Saya menyeru diri saya dan para pembaca sekalian marilah kita memperbanyakkan ibadah kita kepada Allah, menjadi insan yang bertaqwa dan mohonlah keampunan daripadaNya Tuhan yang memiliki seluruh alam semesta ini dan Pemilik kita yang mutlak.

Bulan Ramadhan telah diketahui umum bahawa bulan ini umat Islam diwajibkan puasa selama sebulan.
Apakah yang dimaksudkan dengan puasa?


Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Mengapa umat Islam diwajibkan berpuasa?


Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)

Maka dari ayat ini dapat kita ketahui tujuan utama berpuasa adalah menjadi orang yang bertaqwa.

Bagaimana menjadi orang yang berTaqwa?

1) Imam Al-Hasan Al-Basri menyatakan bahwa taqwa adalah takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah, dan menunaikan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah. Taqwa juga bererti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.

2) Seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Ubay bin Ka’ab pernah memberikan gambaran yang jelas tentang hakikat taqwa. Pada waktu itu, Umar bin Khattab bertanya kepada Ubay tentang apa itu taqwa. Ubay balik bertanya : “Apakah Anda tidak pernah berjalan di tempat yang penuh duri?” Umar menjawab : “Ya.” Ubay bertanya lagi : “Lalu Anda berbuat apa?” Umar menjawab: “Saya sangat hati-hati dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu.” Ubay menimpali : “Itulah (contoh) taqwa.”

3) Syeikh Abdul Qadir pernah memberikan nasihat : ”Jadilah kamu bila bersama Allah tidak berhubungan dengan makhluk dan bila bersama dengan makhluk tidak bersama nafsu. Siapa saja yang tidak sedemikian rupa, maka tentu ia akan selalu diliputi syaitan dan segala urusannya melewati batas.”

Kesimpulannya, Seseorang yang bertaqwa akan meninggalkan dosa-dosa yang besar mahupun yang kecil. Kerana bagi dirinya dosa besar ataupun kecil adalah dosa yang tidak patut dilakukannya. Dosa yang kecil lama-lama akan menjadi besar sepertimana gunung-ganang yang besar tersusun daripada batu-batu yang kecil. Senang kata dosa yang kecil jika dilakukan terus-menerus akan berubah menjadi dosa besar. Dan orang-orang yang bertaqwa ini pasti akan berhati-hati dalam setiap perbuatan yang mereka lakukan kerana tidak hanya hal-hal yang menyebabkan dosa saja yang ditinggalkan malah hal-hal yang tidak menyebabkan dosa pun, jika itu meragukan, maka ditinggalkan pula dengan penuh keikhlasan.

Seronoknya Ramadhan...mengapa ya?


Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)

Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Apakah yang lebih membahagiakan kita selain dosa kita diampunkan? Dan apakah perkara yang lebih menyeronokkan dan menggembirakan kita selain dapat bertemu denganTuhan kita Allah s.w.t? Tetapi perlulah kita ketahui cara untuk bertaubat supaya taubat kita diterima Allah s.w.t. Moga bulan Ramadhan kali ini dapat kita manfaatkannya lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Dunia ini hanyalah tempat persinggahan kita untuk mengumpul amal soleh, Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Rasullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan".
(Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.)

Firman Allah maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)

"Dan Allah sekali-kali tidak menangguhkan seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"

Moga dapat diambil manfaat dan menjadi insan yang bertaqwa, Sekian....

Friday, June 18, 2010

Kepada Sampuna


komen daripada post saya "Agama Buddha dan Pandangan Islam"

sampuna said... saya selaku penganut agama Buddha ingin saudara buktikan penyelewengan yg saudara maksudkan itu.jangan terikut2 kitab anda yg menyatakan kitab semua kecuali kitab islam dah terpesong.Anda kena faham Buddhism tidak pernah ada ruang utk memasukkan elemen tauheed disebabkan pencarian Buddha bukan pada isu ketuhanan tetapi pada pemulihan akhlak utk melepaskan diri dari duka.

Fahaman Buddha menyatakan kepercayaan kepada pencipta adalah kepercayaan yang salah.Sila google Patika Sutta [ http://www.compare-religions.com/List_Patika_Sutta___Origin_of_the_God_Belief.aspx ] dan Kevatta Sutta [ http://www.accesstoinsight.org/tipitaka/dn/dn.11.0.than.html ].Anda akan lebih faham pandangan Buddhist terhadap isu ketuhanan.

Lima prinsip yg saudara paparkan di sini adalah untuk golongan bukan sami.Sila baca Dhammika Sutta [ http://www.accesstoinsight.org/tipitaka/kn/snp/snp.2.14.irel.html ] untuk penerangan yg selengkapnya tentang hukum moral sami dan bukan sami. Hukum moral dlm ajaran Buddha bukan berbentuk 'perintah', tetapi lebih berbentuk nasihat supaya menghindarinya.Sesiapa yg melanggarnya cuma menyakiti dirinya.

Yang pasti,ajaran buddha tulen diwarisi oleh golongan Theravada yg berkeras tidak mahu mengubah amalan yg diperturunkan oleh Buddha. Golongan Mahayana pula terbentuk apabila kumpulan ini ingin mengubahsuai amalan displin sami seperti dalam kitab Vinaya.

************************************************************************************

salam sejahtera Sampuna...terima kasih diatas comment dan persoalan yang diberi..

pertama sekali sepertimana yang telah saudara sendiri nyatakan:
"Anda kena faham Buddhism tidak pernah ada ruang utk memasukkan elemen tauheed disebabkan pencarian Buddha bukan pada isu ketuhanan tetapi pada pemulihan akhlak utk melepaskan diri dari duka."

bertepatanlah dengan maklumat yang saya nyatakan:
"Buddha sebenarnya tidak membawa agama atau kepercayaan baru. Beliau hanya membina cara hidup dan jalan kebaikan baru yang membawa keselamatan kepada seseorang yang mengikutinya. Jadi, ajaran-ajaran Buddha pada hakikatnya bukanlah suatu doktrin atau agama, ia adalah jalan untuk mencapai ketinggian rohaniah dan budi pekerti yang mulia."

maka disini rasanya tidak perlu saya ulas semula kerana disini kita sama-sama memahaminya.

kemudian berkenaan kenyataan saudara:
"saya selaku penganut agama Buddha ingin saudara buktikan penyelewengan yg saudara maksudkan itu.jangan terikut2 kitab anda yg menyatakan kitab semua kecuali kitab islam dah terpesong."

ini mungkin sebagai maklum balas saudara terhadap kenyataan saya:
"Ajaran Buddha mempercayai adanya balasan di alam akhirat. Setiap manusia akan menerima balasan sama ada pahala ataupun dosa menurut amal perbuatan masing-masing. Mana-mana yang melanggar larangannya yang lima:
1) Jangan membunuh
2) Jangan Mencuri
3) Jangan berzina
4) Jangan berbohong
5) Jangan minum-minuman yang memabukkan
Roh mereka akan dimasukkan ke tempat penyeksaan untuk menerima balasan. Kepercayaan ini tidak terdapat di kalangan penganut agama Brahma. Islam meyakini adanya balasan pahala dan dosa, syurga dan neraka. Penganut ajaran Buddha hari ini sebagaimana penganut beberapa agama lain juga telah terdedah kepada penyelewengan."

disini saya hanya mampu menerangkan secara ringkas beberapa perkara yang bagi saya penting...pertamanya agama Buddha ini menyamai Islam mengenai "pembalasan di akhirat(dosa atau pahala)". yang keduanya agama Buddha juga mengajar penganutnya berakhlak mulia sepertimana Islam menyuruh umatnya mengikuti akhlak Nabi Muhammad s.a.w. sebagai contoh ikutan. Kedua-dua ini merupakan persamaan diantara Islam dan Buddha. Tetapi sayang nya bagi pandangan saya di dalam agama Buddha tidak ada menerangkan tentang tauheed atau ketuhanan sepertimana yang saudara sendiri akui. maka ini merupakan suatu kelemahan atau ketidaksempurnaan yang ada. untuk pengetahuan saudara juga ada penganut Islam yang mengatakan Gautama Buddha merupakan seorang rasul disebabkan beberapa ajaran yang sangat mirip dengan Islam terutamanya dari segi akhlak yang di ajarkan. tetapi disebabkan Gautama Buddha ini tidak menyatakan atau tidak mengajar tentang tauheed atau ketuhanan dengan jelas maka pandangan ini tidak kuat atau tidak boleh dijadikan hujah bahawa Gautama Buddha adalah seorang Nabi tetapi hanya sebagai seorang pemikir dan mengajar manusia falsafah kehidupan. bagi pandangan saya mungkin sahaja Gautama Buddha itu merupakan salah seorang Nabi kerana Nabi mempunyai bilangan yang ramai dan Nabi yang terakhir adalah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya Gautama Buddha merupakan salah seorang Nabi mungkin sahaja ajaran beliau mengenai tauheed atau ketuhanan tercicir atau tidak ditemui,ini kerana ajaran-ajarannya ditulis bermula pada persidangan para Bhiksu,pendeta-pendeta atau tokoh-tokoh agamanya pada tahun 477M dan pada persidangan-persidangan selanjutnya. Secara keseluruhannya ia selesai ditulis kira-kira 400 tahun setelah Buddha meninggal. dan ini secara umumnya sudah pasti akan berlakunya penyelewengan atau kesalahan dalam menulis semula semua ajaran-ajaran beliau. berbeza dengan Islam, al-Quran dan al-Hadith ditulis dan dihafal para sahabat Nabi Muhammad s.a.w semasa Nabi Muhammad s.a.w itu masih hidup secara Mutawatir dan bersanad setiap ayat dan huruf, yakni dalam jumlah yang ramai sehinggakan tidak mungkin berlaku penipuan dan mempunyai rantaian daripada siapa kepada siapa hingga pada Nabi Muhammad s.a.w sendiri. malah sehingga kini juga jika saudara pergi ke seluruh dunia saudara tidak mungkin berjumpa dengan al-Quran yang berbeza-beza atau mempunyai edisi-edisi yang berlainan kecuali pada terjemahannya sahaja(dari segi teks asal yang berbahasa arab pasti sama termasuk maknanya). inilah kelebihan Islam berbanding semua agama yang ada di dunia ini. dengan kelebihan inilah agama Islam terjaga dan terpelihara. Islam merupakan cara hidup yang sempurna merangkumi aspek ketuhanan yakni perhubungan manusia dengan Tuhan,perhubungan manusia dengan manusia,perhubungan manusia dengan alam,cara hidup tidak kira dari segi pemerintahan negara,ekonomi,bahkan hubungan suami isteri, dan seluruh aspek kehidupan manusia itu terkandung didalam ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w.

disini dahulu yang dapat saya terangkan pandangan dan pendapat saya...dan saya juga minta maaf sekiranya ada maklumat atau kesilapan saya dalam hal yang dibincangkan ini terutamanya mengenai ajaran agama Buddha yang saudara anuti..mungkin sahaja kita dapat berkomunikasi melalui telefon atau email supaya ianya lebih mudah,sekian sahaja..moga saudara sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera..


(saya juga ketika ini tidak sempat merujuk mana-mana kitab atau website yang dikemukakan saudara Sampuna,maka maklumat mengenai agama Buddha mungkin sahaja tidak lengkap dan tidak tepat....kekurangan ini sangat lah saya kesali dan saya memohon kemaafan kepada semua, ini disebabkan saya tidak mempunyai masa kerana sedang dalam minggu pepepriksaan..kepada sesiapa sahaja sekiranya ada komen dan penambahan sangat-sangat dialu-alukan,terima kasih)

Wednesday, June 9, 2010

Iman Penggerak Kehidupan


Iman merupakan keyakinan yang larut dalam diri, menguasai daya, kehendak dan rasa dalaman manusia. Keyakinan yang larut ini perlu wujud dalam pencapaian akal yang mampu menanggapi hakikat sesuatu yang wujud sehingga ke tahap yakin. Keyakinan ini mestilah diikuti kepatuhan iradah yang dijelmakan dengan perbuatan, disertai rasa kepanasan yang meransang jihad di jalan Allah. Al-Quran menggambarkan iman dalam akhlak yang hidup dan amal yang cemerlang. Ia membezakan mukmin dari yang lain.

Sekiranya seseorang itu mengakui dia beriman tetapi tidak lahir dalam bentuk perbuatannya, ia sebenarnya hanyalah idea, pendapat atau teori yang difikirkan sahaja. Kerana Iman yang mencapai tahap yakin merupakan penggerak segala sesuatu dalam perbuatan manusia. Sebagai contoh seseorang yang terserempak dengan seekor harimau di dalam hutan sudah pasti dia akan cuba melarikan diri supaya dirinya selamat daripada menjadi mangsa atau makanan harimau tersebut. Inilah yang dinamakan yakin, sekiranya dia tidak yakin harimau itu akan mencederakannya sudah pasti dia tidak melarikan diri malah membelai harimau itu seperti seekor kucing.

Kta perlu tahu intipati iman yang wujud bersama manusia sejak kecil dan tidak berpisah dengannya hingga ke usia tua. Kekuatan iman ini mendominasi segala tindak tanduk manusia. Iman yang dijasadkan dalam aqidah dan dijelmakan dalam enam rukun iman. Aqidah ini membolehkan manusia mentafsirkan hakikat wujud dan kelahirannya dengan menjawab tiga soalan: dari mana? Ke mana? Untuk apa? Aqidah ini murni dan menjadi risalah para rasul dari Nabi Adam a.s sehingga Nabi junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Risalah ini tetap dan tidak berubah dari dulu hingga sekarang. Risalah Islam datang untuk membersihkan aqidah daripada syubhat dan penyelewengan. Islam hanya memurnikan kembali aqidah mengenai Uluhiyyah, Nubuwah, hari akhirat dan lain-lain. Unsur-unsur aqidah yang utama: Beriman kepada Allah, Para Rasul dan Hari kiamat.

Pada zaman moden ini aspek keimanan kurang ditekankan sehingga ramai umat Islam yang hanya Islamnya diatas plastik my kad sahaja tetapi hati mereka kosong tanpa ada rasa yakin dengan aqidah Islam. Sistem pendidikan Islam di Malaysia ini juga kurang menekankan Aqidah Islam tetapi melebihkan dalam aspek Syariah. Sedangkan Aqidah itu merupakan tunjang utama yang perlu dititik beratkan kerana tanpa Aqidah yang kuat sudah pasti Syariah tidak akan dijalankan. Boleh dikatakan ayat Al-Quran jenis Makiyyah kebanyakkannya menekankan aspek aqidah diwahyukan kepada Nabi s.a.w selama 13 tahun manakala ayat Al-Quran jenis Madaniyyah pula selama 10 tahun yang kebanyakkannya tentang hukum-hakam atau syariah. Di sini kita dapat lihat bagaimana Allah mentarbiah para sahabat melalui Nabi s.a.w dengan menguatkan keimanan mereka kemudian barulah diturunkan pula tentang hukum-hakam dan sebagainya.

Aqidah yang akan memberi keimanan sehingga tahap yakin inilah merupakan penyelesaian kepada segala permasalah yang berlaku dizaman ini tidak kira ia melibatkan orang lain seperti mencuri, merompak, rogol, ragut, membunuh mahupun hanya melibatkan diri sendiri secara umumnya seperti berzina, berjudi, minum arak dan sebagainya. Segala masalah ini dapat diselesaikan dengan kita kembali semula kepada kehidupan berlandaskan Islam.

Perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Sekian…