Monday, March 15, 2010

Inai atau Henna


Penjelasan Pertama:

Imam An-Nawawi dalam fatwa al-Majmu’ berkata lelaki diharamkan memakai inai pada tangan dan kaki kecuali pada rambut mereka. Wanita bersuami diharuskan memakai henna di tangan dan kaki mereka.

Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula, lelaki dan perempuan diharamkan ke atas mana-mana tubuh anggota kerana ia adalah sama seperti memakai wangian.

Ini diriwayatkan daripada Khawlah Bint Hakim daripada ibunya bahawa Rasulullah S.A.W memberitahu kepada Ummu Salamah, “Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian.” (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma’rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed)

Diriwayatkan dari Aishah bahawa seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada Baginda s.a.w. lalu baginda melihat tangan itu seraya Baginda bersabda: “Aku tidak tahu sama ada ini tangan lelaki atau perempuan.” Perempuan itu menjawab: “Aku adalah seorang wanita.” Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (HR Abu Dawud)

Dua hadith di dalam hal ini, wanita diharuskan memakai inai pada tangan dan kaki mereka. Tetapi berwaspada sekiranya tujuan pemakaiannya adalah untuk seperti memakai wangian dengan tujuan tabarruj, maka ia adalah haram.

Hadith yang kedua, bahawa galakan Rasulullah S.A.W menyuruh kaum wanita untuk memakai inai pada tangan adalah untuk berbeza antara lelaki dan perempuan. Di sini datang pula hadith Nabi s.a.w bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Rujukan:
Fiqhus Sunnah, Sayyid Sabiq.

Penjelasan Kedua:

Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)” (Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)
Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.

Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur .

Penjelasan ketiga:

Tarikh Keputusan: 2 Oct, 2009

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam para fuqaha’ sepakat memutuskan bahawa pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Muzakarah juga memutuskan bahawa pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.
  4. Muzakarah juga bersetuju supaya garis panduan pemakaian inai ini disediakan oleh JAKIM dengan memasukkan bersama nas-nas hadis yang berkaitan dengan unsur-unsur syirik dalam penggunaan corak atau ukiran inai.

Rujukan: http://e-fatwa.intranetportal.my/

Pandangan Penulis:

Setelah meneliti ketiga-tiga penjelasan daripada Fiqhus Sunnah hasil tulisan Sayyid Sabiq, pendapat yang dikemukakan Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz dan juga fatwa daripada Majlis Muzakarah yang dipetik daripada e-fatwa dapat penulis simpulkan bahawa jalan tengah yang terbaik dan juga lebih selamat untuk sesiapa yang ingin memakai inai bagi wanita hanyalah dihujung jari sahaja (tanpa ada bentuk atau lukisan yang tidak dibenarkan syarak) kerana inai ini juga termasuk dalam kumpulan wangian sepertimana sabda Nabi s.a.w: “Jangan memakai sebarang wangian ketika kamu berada dalam ihram. Juga pada henna kerana ia juga adalah wangian.” (Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al-Kabir, Al-Baihaqi dalam Al-Ma’rifah, dan Ibn Abdil Barr di dalam At-Tamheed). Maka sesiapa yang memakai secara berlebihan ia dikira tabarruj maka hukumnya adalah haram. Lelaki pula sangat-sangat tidak digalakkan memakai inai kerana sabda Nabi s.a.w: “Sekiranya kamu seorang perempuan, berbezalah dengan memakai henna (inai) dijarimu.” (HR Abu Dawud). Ini secara tidak langsung Hadis ini menunjukkan pemakaian inai kebiasaannya adalah perhiasan untuk wanita maka lelaki yang menyerupai wanita adalah dilarang. Kerana di sini datang pula hadis Nabi s.a.w bahawa Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. Sekian sahaja, wallahhua’lam

Tuesday, February 16, 2010

Valentine dan kekasihku



Valentine, Adakah kita umat Islam boleh meraikannya? Sebelum menjawab soalan ini adalah lebih baik kita muhasabah diri kita terlebih dahulu dengan soalan-soalan yang mampu mengubah cara hidup kita di dunia ini untuk mengecapi kegembiraan dan kebahagian yang abadi. Adakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah? Bagaimanakah dengan solat kita? Puasa kita? Dari mana harta kita perolehi dan ke mana harta kita dibelanjakan? Anak yang bagaimanakah kita ini terhadap ibu bapa kita? Sebenarnya ramai yang tidak sedar atau sudah sedar tetapi tidak mahu berubah. Janganlah kita diperdaya dengan tidur yang lena yang dihiasi mimpi-mimpi yang indah yang kesemuanya sementara.


Valentine yang lebih mudah dikenali dengan “hari kekasih” ini bertepatankah dengan Islam? Sedarlah wahai saudara-saudara ku yang mana kita akan dihimpunkan kelak bersama-sama, bahawa kekasih kita yang utama adalah Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Sudahkah kita mencintai Baginda s.a.w dengan mengamalkan sunnah nya? Sudahkah kita mempelajari sirah Nabi s.a.w kita? Tahukah kita keistimewaan Nabi s.a.w sebelum dan selepas kerasulannya? Sungguh banyak keistimewaan Nabi kita Muhammad s.a.w seperti; Baunya lebih harum daripada kasturi, Batu mengucapkan salam kepadanya, Bulan terbelah dengan isyaratnya, Air terpancut dari celah jari jemarinya, Pelepah tamar menurut perintahnya, Tunggul kurama menangis merinduinya, Ketua segala urusan pada hari akhirat, pemilik telaga Kauthar, Orang yang pertama memasuki Syurga, dan banyak lagi keistimewaan tidak kira di dunia mahupun di akhirat kelak. Adalah tidak wajar hari kekasih ini kita sambut sedangkan kekasih kita yang utama tidak diletakkan pada martabat yang tinggi.

Asal usul Valentine: tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.

Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine)


Sebenarnya Valentine ini hanya akan mengundang perkara maksiat kerana setiap tahun kita dapat lihat banyak pasangan yang ditangkap kerana berdua-duaan kearah melakukan perbuatan zina. Tahun ini juga kita dapat lihat ada kumpulan mahasiswi di sebuah Universiti yang berkempen supaya tidak memakai seluar dalam pada hari kekasih ini untuk menunjukkan kasih mereka kepada pasangan masing-masing. Inikah yng dinamakan cinta? Cinta inikah yang dirasakan membawa kebahagian? Jika inilah cara menunjukkan cinta maka rosak binasa lah umat keturunan Islam di Malaysia ini. Baru-baru ini juga ada manusia yang berhati lebih busuk daripada haiwan dan juga syaitan yang sanggup membakar bayi di dalam tong sampah. Syaitan pun tidak membunuh keturunan mereka, sedangkan manusia dijadikan sebaik-baik makhluk. Tetapi manusia seperti ini layakkah dengan penghormatan yang Allah berikan? Kalau lah diizinkan sudah pasti ada yang akan membuat demonstrasi supaya manusia seperti ini meletak jawatan daripada menjadi manusia. Ini sangat memalukan kita sebagai manusia.Inilah dakyah-dakyah yang dilakukan yahudi dan nasrani yang tidak puas selagi mana kita tidak mengikuti jalan dan cara hidup seperti mereka.


Sedarlah wahai saudaraku, mari kita sama-sama berubah dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah tuhan langit dan bumi. Valentine ini adalah kepercayaan kepada mereka yang mengakui kewujudan Dewa Zeus dan Hera, ia adalah perayaan Lupercus. Sedangkan kita umat Islam tidak mengakui perkara seperti ini. Oleh itu janganlah kita menyambutnya atau menjadikan tarikh ini sebagai tarikh memperingati pasangan yang bukan mahram. Bertaubatlah kepada sesiapa yang sudah meraikannya. Tahun-tahun hadapan janganlah diulangi lagi. Ingatlah Nabi Muhammad s.a.w adalah kekasih kita yang utama, letaklah Baginda dihati kita dengan mempelajari liku-liku kehidupan Baginda s.a.w untuk menegakkan syiar Islam. Hayati lah akhir hayat Baginda s.a.w yang mana dalam keadaan sakaratulmaut sanggup untuk menanggung segala kesakitan mati umatnya yakni kita. Baginda sangat mencintai kita tetapi kita bagaimana? Berapa kali kita berselawat keatas Baginda setiap hari? Bergetarlah wahai hati-hati yang lalai apabila mengenangkan pengorbanan Nabi s.a.w kekasih Allah yang meleleh darahnya hingga ke sepatu ketika berhijrah ke Taif. Bergoncanglah wahai hati-hati yang lupa tentang kecintaan Nabi s.a.w terhadap umatnya hingga ke nafas terakhir.


Tidak pernahkah saudara-saudaraku mendengar mengenai Khutbah Al-Wida`? Wahai kaum Hawa, Nabi s.a.w telah memberi tanggungjawab kepada kami kaum Adam supaya menjaga kalian dan meletakkan kamu sekalian ke suatu darjat yang tinggi. Mengapa kalian sendiri yang meletakkan diri kalian di bawah? Wahai kaum Adam ingatlah Sabda Nabi ketika Khutbah Al-Wida`: ”…..Sebenarnya kaum perempuan itu memerlukan perlindungan kamu, mereka tidak mampu membela diri mereka sendiri sebagaimana mestinya. Justeru itu berlaku baiklah kamu terhadap kaum perempuan dan berpesan-pesanlah kamu tentang perintah ini, supaya perintah ini menjadi amalan hidup kamu masing-masing.”


Akhir kata, Hari kekasih ini sebenarnya setiap hari bukan pada 14hb febuari sahaja atau pada hari tertentu sahaja. Cinta tidak membatasi waktu dan tempat, sabda Nabi s.a.w: "Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).



***Tambahan atas permintaan DEEN:

Berkata Peguam Zulkifli Nordin (peguam di Malaysia) di dalam kaset 'MURTAD' yang mafhumnya :-

"VALENTINE" adalah nama seorang paderi. Namanya Pedro St. Valentino. 14 Februari 1492 adalah hari kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol. Paderi ini umumkan atau isytiharkan hari tersebut sebagai hari 'kasih sayang' kerana pada nya Islam adalah ZALIM!!! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine. Semoga Anda Semua Ambil Pengajaran!!! Jadi.. mengapa kita ingin menyambut Hari Valentine ini kerana hari itu adalah hari jatuhnya kerajaan Islam kita di Sepanyol..


Thursday, December 31, 2009

Maksiat


Setiap manusia dimuka bumi ini pasti akan melakukan kesilapan tidak kira siapa pun dia, kerana ini adalah sifat fitrah manusia yang sering lupa dan alpa. Cuma yang membezakan seseorang itu adalah dia melakukannya dengan sengaja ataupun tidak, termasuk juga samada dia sudah mengambil langkah untuk mencegah dan berjaga-jaga supaya tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan atau tidak berusaha untuk mencegahnya.

Sesungguhnya orang yang terbaik disisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Saidina Umar pernah menghuraikan taqwa sebagai berhati-hati seperti kita berjalan dijalan yang penuh duri maka pasti kita akan berhati-hati supaya tidak tertusuk duri yang bertaburan tersebut. Maka adakah kita tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa? Persoalan ini umum kerana mungkin ada juga yang telah berhati-hati supaya dapat mencegah daripada perbuatan maksiat tetapi akhirnya gagal tanpa sedar. Ini juga bagi penulis merupakan salah satu permulaan untuk mendapatkan kemanisan sifat taqwa tetapi perlulah kesalahan tersebut diakhirkan dengan taubat yang ikhlas,menyesal dan tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi. Nabi s.a.w bersabda tidak ada mukmin yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali.

Secara tidak langsung ini menunjukkan kesalahan yang pertama itu adalah perkara biasa manusia secara fitrah, kerana tidak ada manusia yang sempurna seperti malaikat kerana manusia dibekalkan dengan nafsu. Taubat merupakan elemen yang penting dalam kehidupan manusia dan ketika itulah merupakan keadaan manusia paling hampir sekali dengan Tuhan mereka iaitu Allah swt. Maka janganlah kita cepat berputus asa, ingatlah Rahmat Allah itu lebih luas daripada KemurkaanNya.

Walaubagaimanapun jangan lah kita seolah-olah mengambil kesempatan atas keluasan Rahmat Allah kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Adakah kita mahu kita mati dalam keadaan melakukan maksiat kepada Allah? Minta la kepada Allah supaya kita dimatikan dalam keadaan Khusnul Khotimah. Mati itu pasti, dan sebaik-baik manusia adalah mereka yang mengingati mati dan bersedia dengan amal yang soleh bukan toleh.

Akhir sekali saya berpesan kepada diri saya yang tersangat hina dan lemah ini terutamanya, supaya menjaga segala suruhan dan larangan Allah untuk menjadi orang yang bertaqwa begitu juga dengan para pembaca sekalian, InsyaAllah.



**Lihat apa yng dikata bukan siapa yang berkata, moga dapat diambil manfaat :)

Friday, December 25, 2009

Masalah Dan Kesudahannya

Tulisan kali ini boleh dikatakan berlaku kepada semua manusia kerana kita semua tidak mungkin terlepas daripada masalah. Bermacam jenis masalah yang kita sebenarnya perlu tempuhi tidak kira samada kita suka atau tidak. Kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun orang tua pasti akan menghadapi masalah hanya jenis masalahnya sahaja yang berbeza.

Kanak-kanak akan mempunyai masalah seperti mengkehendaki sesuatu benda seperti permainan atau benda yang disukainya tetapi tidak dibelikan oleh ibu bapa atau penjaganya. Masalah yang timbul disini adalah kanak-kanak tersebut tidak mempunyai wang kerana masih menganggur ;p . Maka disini berlakunya masalah terhadap kanak-kanak ini, perasaan dan hatinya pasti tertekan apabila tidak mempunyai kudrat untuk memiliki sesuatu tanpa bantuan ibu bapa ataupun penjaga mereka. Masalah seperti ini mungkin diselesaikan dengan cara-cara yang tertentu bergantung kepada keadaan ekonomi ibu bapa atau penjaga mereka :) . Ini termasuk juga cara bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka. Tidak salah sekiranya mereka mempunyai kemampuan tetapi tidak memberikan sesuatu perkara yang diminta dengan mudah. Tetapi penulis rasa perlu penulis ingatkan supaya ibu bapa atau penjaga memberikan kehidupan zaman kanak-kanak kepada meraka yang memerlukan.

Masalah yang kita dihadapi mungkin tidaklah besar sekiranya dibandingkan dengan saudara kita di Palestin, Iraq, Afganistan, Bosnia dan negara-negara lain yang mana umat Islam/saudara-saudara kita ditindas sehinggakan maruah dan aqidah mereka diperkotak-katikkan. Masalah yang kita hadapi masih dapat ditangani dengan beberapa bantuan daripada Allah melalui sahabat-sahabat, ahli keluarga dan manusia lain yang berada berhampiran kita tanpa ada apa-apa sekatan. Masalah yang kita hadapi kadangkala akan membuatkan kita rasa tertekan, marah, benci, geram, menangis dan kadangkala ketawa juga. Marah, benci, geram kepada keadaan sesuatu yang kita tidak mampu ubah dengan daya usaha kita tetapi dengan berubahnya sifat yang ada pada seseorang. Yang kita mampu hanyalah berdoa kepada Maha Pencipta supaya memberi taufiq dan hidayah kepadanya setelah kita berusaha(sedang berusaha lebih tepat kerana dakwah tidak terhenti tetapi memerlukan usaha yang berterusan).

Kerana wang juga kadangkala akan menyebabkan masalah. Wang bukan segalanya tetapi tanpa wang kita tidak dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan untuk kita menuju kesudahan masalah kita kelak. Tapi ingat, jangan jadikan wang sebagai penghalang kesudahan masalah kita dan penyebab masalah kita tidak selesai dan berterusan untuk tempoh ratusan mahupun ribuan tahun lagi. Perlu ingat dari mana wang kita dapat dan ke mana wang kita belanjakan. Zaman kini sekiranya kita ingin menuntut ilmu juga memerlukan wang, malah bukan dalam jumlah yang sedikit tetapi jumlah yang besar tidak kira kita ingin menuntut dalam bidang syariah, usuluddin, elektronik, arkitek, ekonomi, akaun atau dalam apa jua bidang sekali pun. Mungkin masih ada yang tidak sedar bahawa bantuan kewangan yang kita terima untuk bayar yuran dan juga elaun sara diri adalah pinjaman yang memerlukan kita membayarnya semula selepas tamat pengajian. Mungkin ketika ini kita tidak terasa susah malah sangat senang menerimanya tetapi adakah kita senang pada kemudian hari? atau kita akan bertambah susah untuk ratusan dan ribuan tahun kelak kerana tidak membayar HUTANG??

Kita juga perlu ingat jangan sampai mempertuhankan wang. Yang dimaksudkan adalah jangan kita sanggup melakukan sesuatu yang dilarang Allah seperti mencuri, rasuah, riba, dan sebagainya sehingga menutupi rongga-rongga hati dan injap-injap jantung kita. Ini adalah kekotoran yang kita tidak nampak pada akhir zaman ini. Gunakanlah cara Islam secara menyeluruh bukan hanya dari segi pakainan,makananan dan minuman tetapi juga dalam hal ehwal pembelian rumah, kereta, motor, tanah, dan sebagainya dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara pasti Islam adalah penyelesaian yang terbaik walaupun kadangkala kita tidak nampak di dunia tetapi pasti di akhirat kelak. Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu hidup selama-lamanya, maka mengapa perlu kamu kalut, bimbang, tergopoh gapah untuk mendapatkan dunia sedangkan masanya masih panjang.

Tetapi beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari, maka mengapa kamu masih leka dengan dunia yang akan kamu tinggalkan ini? Marilah beribadah.....berkerja untuk akhirat....dapatkan wang untuk kamu tanam benih-benih kehidupan di sana kelak. Hasil nya bukan di sini tapi di sana untuk selamanya. Di situ lah pengakhiran untuk segala macam jenis masalah. Jadilah kita hamba Allah yang bertaqwa.

Firman Allah: "Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung gunung dihancur luluhkan sehancur-hancurnya maka jadilah dia debu yang berterbangan." (56 : 4-6)

Firman Allah: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal, mereka kekal didalamnya,mereka tidak ingin berpindah daripadanya." (18:107-108)



**Harap dapat difahami dan dihayati walaupun bahasa yang agak serabut....ngantok pepagi camni, afwan

Tuesday, December 22, 2009

Membina Generasi



Abad ini boleh dikatakan abad yang sangat mencabar untuk mendidik seseorang supaya menjadi seorang manusia yang tunduk dan patuh terhadap suruhan dan larangan Allah. Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi untuk mendidik iman supaya kuat dan kukuh di zaman yang berteknologi tinggi ini. Hiburan dan maksiat yang bermaharajalela menjadi kan kita lupa dan alpa tentang tujuan kita diciptakan. Mendidik merupakan tugas yang sukar dan memerlukan kesabaran dan method yang pelbagai untuk mencapai tujuannya. Secara lazimnya para gurulah yang merupakan pendidik, tetapi tugas mendidik ini bukanlah hanya terletak diatas bahu para guru sahaja. Perlu kita sedar bahawa tugas mendidik sebenarnya lebih dipertanggungjawabkan keatas ibu dan bapa. Cuba kita kira berapa ramai ibu bapa yang mendidik dan menitik beratkan soal pendidikan Islam terhadap anak-anak mereka tidak kira dari sudut ilmu mahupun pada sudut amalan. Sebagai contoh, tidak ramai ibu bapa yang risau atau khuatir terhadap tahap bacaan Al-Quran anak-anak mereka, tetapi mereka lebih risau sekiranya anak-anak mereka tidak pandai mengira. Sedangkan Al-Quran merupakan perkara asas dalam kehidupan seseorang kerana Al-Quran merupakan wahyu Allah kepada manusia.

Cuba kita imbas kembali zaman silam yang mana ramai ilmuwan islam seperti Ibnu Haytsam yang pakar dalam bidang Optik, Ibnu Awwam yang pakar dalam bidang Pertanian, Ibnu Sina yang merupakan pakar Perubatan dan juga tokoh-tokoh yang sudah kita ketahui sedikit sebanyak tentang mereka yang mana mereka semua ini diajar ilmu Islam terlebih dahulu sebagai asas kehidupan mereka. Ibnu Sina contohnya sudah mampu menghafal al-Quran sejak umur 5tahun, begitu juga dengan tokoh-tokoh yang lain seperti Al-Biruni,Ibnu Rushd, Ar-Razi dan sebagainya. Inilah rahsia kejayaan mereka, setelah mereka mengenal Allah barulah senang untuk mendapat ilmu daripada Allah. Mereka memahami Al-Quran dan As-Sunnah sehinggakan mereka mendapatkan sebahagian ilmu perubatan, optik dan sebagainya berpunca daripada kefahaman mereka tentang isi kandungan al-Quran.

Tidak hairanlah perkara ini berlaku kerana Al-Quran merupakan Mukjizat Hissiy/Aqli. Cara untuk kita merasai Mukjizat yang diberikan Allah kepada Rasul junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan kita mengkaji dan memahami Al-Quran itu sendiri. Mukjizat ini sangat istimewa kerana ia akan berterusan hingga kiamat tidak seperti Mukjizat Maknawi kerana ia terhenti disitu sahaja tidak dapat dirasai oleh generasi mendatang secara terus. Adakah zaman kita ini masih ramai yang faham akan isi kandungan Al-Quran? Bagi penulis soalan ini mungkin agak 'berat'.... lebih mudah atau lebih senang untuk kita ukur pencapaian kita sebagai umat Islam masa kini di negara ini adalah dengan bertanyakan "Adakah umat Islam di Malaysia ini semuanya reti baca Quran?" Inilah soalan yang lebih tepat dan mudah untuk kita lihat bagaimana keadaan umat Islam masa kini yang sangat celik Teknologi tapi buta agama. Ini juga belum ditanya tentang hukum tajwid apatah lagi untuk men'tadabbur' Al-Quran atau untuk Istimbat hukum. Mungkinkah kita sebagai orang awam tidak perlu tahu dan hanya serah bulat-bulat pada para Ustaz yang ada? Adakah kita mahu Ustaz-ustaz dan Ustazah sahaja yang memahami Islam dan mempunyai Iman yang kukuh? Tidak terfikirkah kita tentang Syurga dan Neraka?? Sekiranya semua anak-anak kecil mahupun dewasa memahami Islam dan mempraktikkannya dengan iman yang teguh sudah pasti tidak akan ada kes-kes jenayah seperti mencuri, meragut, merogol, membunuh dan sebagainya berlaku di negara yang mempunyai penduduk yang majoritinya menganuti ajaran Islam.

Mari kita lihat pula berapa ramai suami atau bapa yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Berapa ramai suami dan bapa yang mengejut Isteri dan anak-anak mereka untuk Solat Subuh? Berapa ramai bapa yang mendidik anak-anak mereka solat berjemaah di surau ataupun masjid? Berapa ramai suami yang mengadakan perbincangan dengan isteri mereka dalam menghadapi sesuatu masalah? Berapa ramai suami dan bapa yang memberi tazkirah terhadap isteri dan anak-anak mereka selepas maghrib? Berapa ramai suami dan bapa yang mampu menjadi imam solat terhadap isteri dan anak-anak mereka? Dimana Lelaki yang mampu menyampaikan Suruhan dan Larangan Allah terhadap tanggungan mereka? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka....."(At-Tahrim:6)
Tidaklah segalanya saya hanya tujukan kepada suami dan bapa tetapi ini juga termasuklah tanggungjawab Isteri terhadap suami dan anak-anak, begitu juga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Sama-samalah bantu membantu dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Akhir sekali ingin saya berpesan pada diri saya sendiri terutamanya dan juga para pembaca yang saya kasihi sekalian marilah kita sama-sama usaha menghidupkan semula nilai-nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w kepada kita untuk membina sebuah keluarga yang bahagia di dunia dan di akhirat seterusnya membentuk generasi muda yang "soleh wa musleh" dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini insyaAllah.