Saturday, May 30, 2009

Jalan untuk berTaqarrub dan mendapat Kecintaan Allah


Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: "Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman: "Barangsiapa yang memusuhi wali Ku, maka Aku isytiharkan perang terhdapatnya. Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seorang hamba itu sentiasa mendekatkan diri kepada Ku dengan mengerjakan amlan-amalan sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatannya yang dia melihat dengannya, tangannya yang dia mengambil sesuatu tindakan dengannya dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon sesuatu daripada Ku, Aku akan memberinya dan jika dia memohon perlindungan daripada Ku, maka Aku akan melindunginya." (HR Bukhari dalam kitab ar-Raqqaaq)
Hadis ini terdapat sedikit tambahan di dalam riwayat Bukhari iaitu: "Tidaklah pernah Aku teragak-agak di dalam suatu perkara yang Aku lakukan, sebagaimana teragak-agaknya Aku untuk mencabut nyawa hamba Ku yang mukmin yang bencikan kematian sedangkan Aku tidak suka untuk menyakitinya."

Kandungan Hadis yang perlu dilaksanakan:

1) Sayangi Wali-wali Allah kerana mereka adalah hamba Allah yang terbaik dan perlu kita dampingi atau mendekati serta mencontohi mereka. Mereka melakukan ketaatan lagi ikhlas kepadaNya. Allah telah menyifatkan mereka dengan dua sifat di dalam al-Quran iaitu Iman dan Taqwa. Firman Allah: "Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tiada kekhuawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka yang selalu bertaqwa." (Yunus:62-63)

2) Jangan Memusuhi wali Allah kerana ia akan mengundang kemurkaan Allah kerana Allah mengisytiharkan bahawa Dia akan memerangi yakni membinasakan hambanya yang menyakiti seseorang mukmin yang bertaqwa atau menceroboh harta, jiwa dan kehormatannya. Hadis Aisyah r.a dalam kitab Musnad ada menyatakan; "Barangsiapa menyakiti seorang wali, bererti dia telah menghalalkan untuk Aku memeranginya."

3) Melaksanakan amal fardu adalah lebih utama dan disukai oleh Allah seperti dalam hadis Qudsi tadi firman Allah: "Tidaklah seseorang hamba mendekatkan diri kepada Ku dengan melakukan amalan yang lebih Aku sukai selain daripada apa yang telah Aku fardhukan kepadanya." Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata: "Amalan yang paling afdal ialah melaksanakan amalan yang difardukan oleh Allah, menjauhi perkara yang diharamkan Nya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah s.w.t semata-mata."

4) Meninggalkan maksiat sebahagian daripada melaksanakan kefarduan, Allah telah menjelaskan bahawa sesiapa yang melanggar batas sempadan Nya dan melakukan maksiat, maka dia layak mendapat siksa yang pedih di dunia dan di akhirat. Bahkan kefarduan meninggalkan maksiat lebih didahulukan daripada kefarduan melaksanakan ketaatan, sebagaimana dinyatakan oleh hadis NAbi s.a.w: "Jika aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia menurut kemampuan kamu, dan jika aku melarang kamu daripada sesuatu, maka janganlah kamu mendekatinya."

5) Mendekatkan diri kepada Allah (Taqarrub) dengan perkara sunat, Taqarrub dan kecintaan ini tidak diperolehi kecuali setelah melaksanakan perkara fardu dan berusaha bersungguh-sungguh melakukan perkara sunat seperti solat, puasa, zakat serta haji... serta menahan diri daripada sekecil-kecil perkara makruh kerana Wara'. Jika ini dilakukan, maka ia akan melayakkan seseorang hamba untuk mendapat kecintaan Allah. Barangsiapa yang dicintai Allah, maka dia akan dianugerahkan kemanisan dalam melakukan amalan ketaatan, sibuk berzikir dan beribadat kepadaNya. Dengan itu dia layak untuk mendapat kedudukan yang tinggi dan bahagiannya di sisi Allah. Di dalam sahih Bukhari dan Muslim daripada Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t telah berfirman: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu terhadapku. Aku bersamanya di saat dia mengingatiKu. Jika dia menyebut Ku di dalam satu kumpulan, Aku menyebutnya di dalam kumpulan yang lebih baik lagi."

Friday, May 29, 2009

Menarik mengenai Masjid Al-Aqsa



1) Binaan kubah itu menempatkan batu tergantung yang menyaksikan sejarah sejak zaman Nabi Ibrahim hingga kepada Nabi Muhammad. Nabi Ibrahim menjadikan batu itu sebagai tempat meletakkan Nabi Ismail untuk dikorbankan. Kawasan di situ juga menjadi tempat Nabi Isa hidup dan berdakwah. Dari kawasan batu itu juga Nabi Muhammad diangkat ke langit dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.

2) Dipercayai bahawa bentuk masjid Nabi Sulaiman di kompleks itu jika dilihat dari udara membentuk perkataan Mim, Ha, Mim, Dal atau "Muhammad".

3) Persoalan mengapa Nabi Muhammad terpaksa pergi ke Masjidil Aqsa untuk Mikraj ke langit, tidak dikaji dengan teliti, sedangkan beberapa ekspedisi Barat ke bulan menggunakan laluan yang setentang dengan Masjidil Aqsa untuk membolehkan kapal angkasa memasuki orbit luar.

4) Kubah batu, dibina oleh kerajaan Islam pada kurun ketujuh Masihi. Bagaimanapun, penjajah Kristian dalam beberapa perang salib, menjadikan kubah batu ini sebagai gereja mereka.

5) Merupakan kiblat pertama untuk umat Islam dan masjid kedua yang dibina di bumi.

Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: "Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini?" Rasulullah menjawab: "Masjidil Haram." Aku bertanya lagi: "Setelah itu, masjid mana pula?" Baginda menjawab: "Masjidil Aqsa." Seterusnya aka bertanya: "Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya?." Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. Walaupun begitu, dimana saja kamu berada apabila tiba waktu solat, dirikanlah solat kerana di situ juga merupakan masjid." (HR Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: "Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk solat kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjid ku ini iaitu masjid Nabi, Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Aqsa." (HR Bukhari dan Muslim)

Firman Allah s.w.t bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Israa':1)

Adakah Trinity benar?


Markus fasal 12 ayat 29 "Maka jawab Jesus kepadanya: "Hukum yang terutama ialah: dengarlah olehmu hai Israil, adapun Allah Tuhan kita ialah Tuhan Yang Esa."

Ulangan fasal 4 ayat 35 "Maka kepadamulah Ia itu ditunjuk, supaya diketahui olehmu bahawa Tuhan itu Allah, dan kecuali Tuhan Yang Esa tiadalah yang lain lagi."

Ulangan fasal 6 ayat 14 "Dengarlah olehmu hai Israil! Sesungguhnya Hua Allah kita, Hua itu Esa adanya."

Matius fasal 27 ayat 1 "Kemudian kata Jesus kepada mereka itu: "Hatiku amat sangat berdukacita, hampir mati rasaku: tinggallah kamu disini dan berjagalah sertaku."

Lukas fasal 2 ayat 11 "Sebab pada hari ini sudah lahir bagimu juru selamat, iaitu Kristus Tuhan itu di dalam negeri Daud."

Johannes fasal 5 ayat 3 "Maka aku tidak boleh berbuat satu apa dari mahuku sendiri."

Ayat-ayat di atas diambil dari Bible terjemahan Indonesia yang menolak sendiri konsep Trinity dan meng Esa kan Allah s.w.t. Telah terbukti bahawa sebenarnya Bible telah diubah oleh tangan-tangan manusia yang memusuhi Allah s.w.t. Mereka menjadikan Tuhan mereka seperti minuman 3 in 1 yang tidak boleh diterima akal secara TOTAL. Kita sebagai manusia yang diciptakan Pencipta kita bertanggungjawab mencari agama yang benar sebagai pegangan hidup kita bagi memastikan kita mematuhi arahan dan larangan Pencipta kita supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah: "Katakanlah: Hai manusia…. Sesungguhnya telah datang kepadamu Al-Haq ( kebenaran Al-Quran) dari Rabb kalian………..” (Yunus:108)
Marilah kembali kepada Al-Quran yang dipelihara sepertimana firman Allah: “Sesungguhnya telah Kami turunkan Adz Dzikir ( Al-Quran dan Kamilah Yang menjaganya” ( Al-Hijr:9 ) Di dalam Al-Quran ini tidak ada satu pun ayat yang berlawanan antara satu sama lain kerana ia bukan ciptaan manusia tetapi ia adalah Kalam Allah yang qadim.

Al-Quran sebagai pedoman hidup bagi seluruh manusia tanpa terkecuali.
“ Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran swbagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda( antara yang hak dan yang bathil)…..” (Al-Baqarah :185)

Al-Quran sebagai Az-Dzikr ( Peringatan )
“ Al-Quran itu tdak lain hanyalah peringatan dan kitab yang memberi penerangan“ (Yaasin : 69 )

Kepentingan Khusyuk


Solat tidak berkesan tanpa Khusyuk. Mengikut al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu semasa Nabi s.a.w ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya semasa sedang bersolat maka beliau pun berkata, "Jika Khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya." Berhubung dengan Khusyuk Abu Dardak berkata, "Khusyuk ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan." Pendapat ini disebutkan di dalam al-Asas al-Tafsir oleh Said Hawa.

Asas kepada Khusyuk adalah kebersihan hati. Justeru, untuk Khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam. Keenam-enam itu, mengikut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, adalah "kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu." Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut kepada Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah sahaja tempat pergantungan manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.

Salafiyah


Apa itu Salaf?

Dalam bahasa arab bererti: “yang mendahului yang lain dalam waktu atau zaman.”

Maksud Salaf menurut syariat Islam adalah: “Para sahabat, tabi’in, tabi’uttabi’in dan seluruh generasi yang mengikuti mereka dengan baik hingga kiamat, dimana keadilan dan kebersihan diri mereka telah diakui oleh umat secara ijma’, dan mereka pun tidak pernah tertuduh melakukan bid’ah yang menyebabkan kekufuran atau kefasikan.”

Secara umumnya Salaf merupakan ungkapan tentang para sahabat, tabi’in dan tabi’uttabi’in yang mempunyai manhaj tertentu yang mereka ikuti. Inilah tiga generasi dan zaman paling utama sebagaimana Sabda Nabi Muhammad s.a.w: ”Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian zaman sesudahku, kemudian zaman sesudahnya lagi.”(HR Muslim dari Abdullah, kitab Fadhoilu al-Shahabat)

Firman Allah: ”Dan orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama(masuk islam) dari kaum muhajirin dan kaum ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik; Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap Allah”(at-Taubah:100)

Mazhab Salaf itu mempunyai dua dimensi:

1-Dimensi Qudwah (orang-orang yang diteladani)

2-Dimensi Manhaj (sistem yang diikuti)

Tiga generasi yang pertama dalam sejarah islam inilah yang dijadikan panutan dan sistem yang diikuti oleh ketiga generasi dari ketiga zaman tersebut dalam pemahaman aqidah, pengambilan dalil aqidah, penetapan muatan aqidah, ilmu dan iman. Dengan demikian, sebutan Salafiyah adalah pujian yang disifatkan kepada orang yang menjadikannya sebagai panutan dan sistem. Adapun mereka yang menyebut dirinya sebagai Salafi tanpa mengikuti kriteria tadi, maka itu sama sekali tidak mengandung pujian. Kerana dasarnya adalah makna kata itu, bukan lafaznya.

Sunday, May 24, 2009

Rahsia Khusyuk Dalam Solat




Solat merupakan perkara terpenting dan soalan yang pertama yang akan ditanya ketika dipadanag masyar kelak. Solat dinilai dari hati kita yang khusyuk dan tawadu' pada Allah s.w.t.....di sini ada cara-cara untuk menuju kearah solat yang sempurna dari hati yang khusyuk.

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat

2. menyesali dosa yang dilakukan

3. tidak tergila-gilakan dunia

4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. tinggalkan sifat berbangga

6. tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahwa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahwa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Mengapa perlu nya blog??


Blog.....mungkin ramai yang tertanya mengapa perlu ada blog? pentingkah blog ini dalam kehidupan kita? atau hanya akan menambahkan lagi beban yang perlu dipikul?
Sebenarnya blog ini boleh memberi keuntungan kepada kita di dunia mahupun di akhirat. Dengan menggunakan blog sebagai cara berniaga secara online di zaman ini dan juga sebagai salah satu medium dakwah. Tetapi ada juga keburukan yang boleh dilakukan dengan menggunakan blog. Tetapi, sesiapa yang beriman kepada Allah dan percaya hari akhirat maka sudah pasti blog ini menjadi salah satu saham akhirat yang kita mampu lakukan dengan mengisi nya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat membantu menyampaikan walaupun satu ayat kepada pembaca dan sudah pasti akan mengingati diri yang kerdil ini sendiri supaya berusaha melaksanakan apa yang di kongsikan di blog ini. Moga dengan bermula nya blog ini maka akan menambahkan lagi ilmu pada diri sendiri dan mendapat saham yang kekal abadi kelak, InsyaAllah.